Selamat Datang Pewaris Watan

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat komunikasi Korporat

12 Oktober 2022 –  Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ‘bergegar’ dengan Majlis Amanat Naib Canselor dan Bacaan Ikrar Pelajar Baharu sempena Minggu Apresiasi Watan bagi menyambut pelajar sesi akademik 2022/2023.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman yang mengenakan busana tradisional lengkap bertanjak dan bersampin, menyampaikan amanat beliau yang bertajuk ‘Pewaris Watan’.

’Pewaris Watan’ merujuk kepada semua mahasiswa UKM yang bakal menyambung legasi dan perjuangan universiti.

Intipati majlis amanat ini termasuklah perkongsian tentang sejarah penubuhan UKM pada tarikh keramat 18 Mei 1970 sebagai sebuah institusi pendidikan yang memartabatkan Bahasa Melayu.

“Majlis Mesyuarat Raja-Raja atau DURBAR telah mencetuskan cadangan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Bertitik tolak dari cetusan ini, lahirlah gerakan-gerakan rakyat yang mendesak penubuhan sebuah universiti kebangsaan.

“Dari pemimpin masyarakat hinggalah ke rakyat jelata, semuanya menginginkan sebuah institusi pendidikan yang memartabatkan bahasa Melayu untuk penyebaran ilmu,” katanya.

Beliau turut memberi nasihat kepada mahasiswa supaya memanfaatkan peluang untuk belajar di Universiti Watan ini dengan tidak mensia-siakan harapan ibu bapa.

Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan juga menyebut tentang inisitif UKM bersama Kementerian Pengajian Tinggi dalam membantu mahasiswa seperti Program Sumbangan Food@Campus, Program Bakul Makanan Sihat, Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia dan Program Jelajah Jejak Anak Watan.

Seterusnya, mahasiswa baharu melafazkan ikrar yang diketuai oleh saudara Mohd Loqman Arif Kamaruzaman, Kolej Dato’ Onn dari Kolej Dato’ Onn.

Pada majlis yang sama, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan menerima Borang Aku Janji Mahasiswa Baharu UKM daripada 12 orang wakil pelajar dari setiap kolej.

Majlis turut menyaksikan pelancaran video rasmi baharu lagu ‘Varsiti Kita’. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, ahli-ahli LPU, Timbalan- timbalan Naib Canselor UKM, Pengurusan Tertinggi UKM, Dekan-Dekan Fakulti, Pengarah-Pengarah Pusat dan Pengetua-Pengetua Kolej.

Leave a Reply