Oleh Pusat Komunikasi Korpora
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 7 Mei 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Garis Panduan Sukarelawan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membentuk mahasiswa yang lebih inklusif dan berempati tinggi dalam menyantuni komuniti OKU.
Garis panduan sukarelawan cakna OKU UKM ini adalah merupakan projek penyelidikan di bawah geran kelestarian UKM yang diketuai oleh pensyarah Program Pendidikan Khas di Fakulti Pendidikan, Dr. Syar Meeze Mohd Rashid.
Menurut Dr Syar Meeze, garis panduan ini bertujuan memberi panduan menyeluruh kepada warga universiti dalam memahami keperluan, hak dan cabaran golongan OKU.
“Garis panduan ini juga berperanan memperlengkapkan sukarelawan dengan kemahiran asas dalam berinteraksi, berkomunikasi dan menguruskan individu OKU secara berkesan.
“Pelancaran ini menandakan permulaan baharu dalam landskap kesukarelawanan berteraskan inklusiviti di institusi pengajian tinggi.
“Garis panduan ini juga merupakan simbolik komitmen universiti terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamarataan),” katanya.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak.
Menurut beliau, UKM sentiasa memberi sumbangan bermakna terhadap keperluan komuniti OKU.
“Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa malah menzahirkan solidariti dan empati terhadap rakan-rakan OKU di kampus kita.
“Semoga segala usaha ini diberkati dan membawa impak positif jangka panjang kepada komuniti kampus kita serta mewujudkan persekitaran yang adil untuk semua,” katanya.
Majlis yang sama turut menyaksikan pelancaran Vest Sukarelawan Cakna OKU hasil inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pendidikan dengan kerjasama Kelab Sukarelawan Cakna OKU UKM.
Dr Syar Meeze berkata vest ini berfungsi sebagai simbol komitmen dan tanggungjawab sukarelawan dalam memberi bantuan dan perkhidmatan kepada komuniti OKU.
“Hal ini dapat menjadi medium penyatuan semangat kesukarelawanan dan penyebaran mesej kesedaran inklusif dalam kalangan warga kampus.
“Usaha ini dapat memperkukuh ekosistem kampus yang menyantuni dan meraikan kepelbagaian selaras dengan aspirasi UKM sebagai sebuah universiti watan,” tambahnya.
