Oleh Rajan Munusamy, Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), Ketua Seksyen Pengukuhan Integriti, UKM)
Dalam usaha memperkukuh budaya integriti dan tatakelola yang baik di Malaysia, satu cabaran psikologi yang mungkin sering terlepas pandang ialah kesan Dunning-Kruger, iaitu satu kecenderungan pemimpin organisasi yang kurang kemahiran atau pengetahuan melebih-lebihkan keupayaan diri sendiri. Sama ada dalam sektor awam mahupun korporat, kesan ini boleh memberi implikasi serius terhadap keberkesanan sistem kawalan dalaman dan struktur tatakelola organisasi keseluruhan.
Kesan Dunning-Kruger adalah konsep yang diperkenalkan oleh David Dunning dan Justin Kruger pada tahun 1999. Ia merujuk kepada individu yang kurang pengetahuan atau kemahiran dalam sesuatu bidang cenderung untuk menganggap diri mereka lebih cekap berbanding realiti sebenar, manakala individu yang benar-benar kompeten atau pakar pula sering merendah diri. Dalam konteks organisasi, fenomena ini menjadi lebih merisaukan apabila berlaku dalam kalangan pengurusan atasan dan pembuat keputusan.
Cabaran Pegawai Integriti di Unit Integriti/ IGU
Pegawai integriti, yang menjadi penjaga tatakelola baik, sering terperangkap dalam suasana kerja yang mencabar. Kehadiran kesan Dunning-Kruger dalam kalangan pemimpin organisasi menimbulkan beberapa cabaran utama iaitu:
i. Penolakan terhadap nasihat profesional
Pemimpin yang terjejas oleh kesan bias Dunning-Kruger ini sering mengabaikan pandangan pegawai atau pakar bidang, walaupun nasihat tersebut berasaskan data dan pengalaman. Mereka lebih percaya kepada pengetahuan sendiri yang terhad, sekaligus menyukarkan usaha penambahbaikan organisasi.
ii . Budaya “Yes Boss”
Apabila pemimpin hanya dikelilingi individu yang bersetuju tanpa persoalan, ini menyekat percambahan idea dan kritikan membina. Budaya ini menghakis ruang semak dan imbang yang sepatutnya menjadi asas kepada tatakelola yang baik.
iii. Risiko “dimangsakan”
Pegawai integriti yang cuba menegur atau membongkar penyelewengan sering dilabel sebagai ancaman. Akibatnya, mereka terdedah kepada tekanan, sekatan, atau tindakan balas yang tidak adil.
Satu kajian yang dilakukan oleh Emelia A. Girau et al. (2021) menunjukkan bahawa faktor seperti saiz lembaga pengarah dan sistem imbuhan memainkan peranan dalam mengurangkan penipuan korporat di Malaysia. Namun, budaya organisasi yang tidak menghargai kepakaran sebenar dan menolak pandangan profesional kekal menjadi penghalang utama reformasi.
Manakala kajian oleh James Muren (2025) pula menekankan bahawa pemimpin yang terkesan dengan kesan Dunning-Kruger bukan sahaja kerap membuat keputusan salah dengan keyakinan tinggi, malah cenderung menolak data, mengabaikan nasihat pakar dan membuat keputusan secara impulsif.
Langkah Membendung Impak Kesan Dunning-Kruger
Beberapa langkah strategik boleh diambil bagi membendung impak kesan Dunning-Kruger terhadap tatakelola organisasi iaitu:
i. Latihan kepimpinan dan kesedaran kognitif
Latihan berkaitan bias kognitif dan pentingnya keterbukaan terhadap pandangan luar perlu diwajibkan kepada semua peringkat pengurusan, termasuk ahli lembaga pengarah.
ii. Pemerkasaan institusi integriti dalaman
Pegawai integriti perlu dilindungi dan diberi autonomi untuk menjalankan tugas mereka tanpa tekanan atau campur tangan tidak wajar.
iii. Audit budaya organisasi
Penilaian secara berkala dapat mengenal pasti unsur “overconfidence” atau ego kepimpinan yang boleh menghalang mekanisme semak dan imbang dalam organisasi.
iv. Pendekatan keputusan berasaskan bukti
Setiap keputusan penting harus disandarkan data dan analisis objektif, bukan pengaruh peribadi atau andaian tanpa sandaran.
Kesimpulan
Mengakui bahawa kita tidak tahu segala-galanya adalah tanda kekuatan, bukan kelemahan. Dalam landskap organisasi yang semakin kompleks, keengganan menerima pandangan profesional bukan sahaja mencacatkan reputasi institusi, malah membuka ruang kepada kegagalan sistemik. Walaupun cabaran ini nyata, ramai pemimpin dan organisasi di Malaysia kini menunjukkan komitmen tinggi dalam membina budaya integriti termasuk penubuhan Unit Integriti.
Kesan Dunning-Kruger perlu dilihat bukan sebagai halangan, tetapi sebagai peluang memperkukuh mekanisme semak dan imbang demi masa depan tatakelola yang lebih beretika dan mampan.