Oleh Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan dan Dr. Lim Kar Keng
Pusat Strategi UKM
BANGI, 19 Jun 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus mencipta sejarah dan mengharumkan nama negara di persada global apabila melonjak ke kedudukan ke-126 dunia dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2026. Ini merupakan pencapaian terbaik UKM sejak penyertaan pertamanya dalam penarafan antarabangsa ini pada tahun 2005.
Kenaikan 12 anak tangga ini bukan sekadar peningkatan angka, tetapi satu pengiktirafan besar terhadap kekuatan akademik, daya saing global dan reputasi antarabangsa UKM. Buat pertama kalinya, UKM berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 peratus teratas universiti terbaik dunia, sekali gus menegaskan peranannya sebagai institusi unggul dalam landskap pendidikan tinggi global.
Pencapaian Bertaraf Dunia
Peningkatan kedudukan ini meletakkan UKM sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia, mengukuhkannya sebagai antara peneraju utama pendidikan tinggi negara. Ia mencerminkan hasil transformasi menyeluruh dan berterusan dalam memantapkan mutu pengajaran, penyelidikan, inovasi, serta pengantarabangsaan.
Graduan Diyakini, Kampus Lestari
UKM menunjukkan prestasi cemerlang dalam dua indikator utama iaitu Keberhasilan Pekerjaan (Employment Outcomes) dan Kelestarian (Sustainability). Graduan UKM terus mendapat permintaan tinggi dalam pasaran kerja di peringkat tempatan dan antarabangsa, mencerminkan kualiti pendidikan dan kebolehpasaran yang tinggi.
Dalam masa yang sama, komitmen UKM terhadap Agenda Pembangunan Mampan (SDG) juga diiktiraf, selari dengan nilai-nilai tanggungjawab sosial dan alam sekitar yang dipegang teguh oleh institusi ini.
Cemerlang dalam THE Impact Rankings 2025
Reputasi UKM dalam kelestarian global turut diperkukuh melalui pencapaian luar biasa dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025, apabila UKM melonjak ke kedudukan ke-53 dunia, naik sebanyak 215 anak tangga berbanding kedudukan 201–300 pada tahun sebelumnya. Ini merupakan lonjakan terbesar UKM sejak penglibatannya dalam penarafan ini, sekaligus menjadi bukti komitmen padu terhadap prinsip kelestarian.
Daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan PBB (SDG) yang dinilai, 15 SDG UKM berada dalam kelompok 100 terbaik dunia, termasuk dua yang tersenarai dalam 10 terbaik global:
SDG 1: Sifar Kemiskinan – Kedudukan #8
SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat – Kedudukan #8
Kejayaan ini mengangkat UKM sebagai antara universiti paling progresif dan bertanggungjawab, bukan hanya dalam pendidikan dan penyelidikan, tetapi juga dalam memacu agenda kemanusiaan dan kelestarian sejagat.
Lambang Dedikasi Warga dan Ilmuwan Progresif
Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh, menyifatkan kejayaan ini bukan semata-mata mengenai kedudukan dalam penarafan, tetapi merupakan manifestasi usaha gigih dan sinergi seluruh warga UKM. Ia lahir daripada pelaburan strategik dalam bidang-bidang tumpuan seperti penyelidikan bertaraf dunia, penerbitan berimpak tinggi, jaringan global, inovasi pengajaran dan pembelajaran digital, serta pembinaan persekitaran kampus inklusif dan lestari.
“Pencapaian ini adalah bukti bahawa kita berada di landasan yang betul, dan ia mendorong kita untuk terus memperkukuh peranan UKM sebagai universiti yang mendepani masa dan masyarakat,” ujar beliau.
55 Tahun Mengorak Langkah Cemerlang
Pencapaian bersejarah ini hadir tepat pada waktunya — menjelang ulang tahun ke-55 penubuhan UKM, menjadikannya satu detik yang amat bermakna dalam naratif pembangunan institusi ini. Ditubuhkan pada tahun 1970 atas semangat kebangsaan dan perjuangan bahasa Melayu, UKM kini berdiri megah sebagai sebuah universiti penyelidikan terkemuka yang menjunjung aspirasi rakyat dan membina masa depan negara.
Aspirasi Masa Depan: Ke Hadapan dengan Visi Besar
Berbekalkan asas yang kukuh dan pencapaian yang membanggakan, UKM kini bersedia untuk melangkah lebih jauh. Fokusnya kini adalah untuk memacu inovasi, memperkasa penyelidikan transdisiplin, dan memposisikan diri sebagai pusat kecemerlangan serantau dalam pelbagai bidang strategik.
UKM juga komited untuk terus melahirkan pemimpin masa depan yang beretika, berpandangan jauh dan lestari, selain memperkukuh peranan dalam diplomasi pendidikan dan kerjasama antarabangsa.
Sebagai universiti yang lahir daripada aspirasi kebangsaan dan semangat keilmuan, UKM akan terus mara ke hadapan, mendukung semangat “Aspirasi Rakyat, Keunggulan Negara.”
