Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 17 Jun 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina dan Federation of Malaysian Manufacturing (FMM) telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan tenaga kerja dan pembelajaran sepanjang hayat.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan penyelesaian pembelajaran inovatif seperti Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), mikro- kredensial (MC), dan pensijilan profesional.
Hal ini bertujuan untuk mengiktiraf pengalaman kerja yang sedia ada, menyediakan peluang pembelajaran modular dan boleh disusun (stackable), serta menawarkan pensijilan yang diiktiraf industri dan sejajar dengan perkembangan semasa.
Pengarah Yayasan Canselor yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal ehwal Jaringan Antarabangsa dan Masyarakat berkata melalui inisiatif ini, UKM dan FMM komited untuk memperluas akses kepada Pendidikan dan latihan berkualiti bagi golongan professional.
“Dengan persetujuan dalam mewujudkan MoU ini, penyelidikan berkaitan industri terus giat dilaksana dan dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat dan negara.
“Saya berharap hubungan UKM-FMM bertambah kukuh dengan pelbagai lagi aktiviti penyelidikan dan perundingan dapat dijalankan dengan baik dan bermakna.
“Jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak industri seperti ini adalah salah satu usaha memasyarakatkan kepakaran UKM.
“Kerjasama seperti ini juga dapat memberikan penyelidik UKM dimensi baru melalui sumbangan idea dan sumbang saran pihak-pihak yang berkepentingan dalam sesuatu bidang tujahan penyelidikan,” katanya.
Selain itu, MoU ini turut merangkumi kerjasama dalam penganjuran bengkel, seminar dan persidangan bersama yang memfokuskan kepada teknologi terkini, inovasi industri dan trend masa depan tenaga kerja.
