UKM Meterai Perjanjian Dengan Move Robotics Sdn Bhd Komersialkan OQ Sense™️

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 4 Disember 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memeterai perjanjian dengan Move Robotics Sdn Bhd untuk pengkomersialan OQ Sense™️ yang merupakan sistem penglihatan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Produk OQ Sense™️ ini telah mendapat perlindungan harta intelek bagi tiga kategori, iaitu paten, cap dagangan dan juga hak cipta.

Menurut ketua penyelidik dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat UKM, Prof. Madya Dr. Abdul Hadi Abd Rahman, OQ Sense™️ menggabungkan pelbagai kamera kedalaman untuk menentukan kehadiran objek di persekitaran.

“Ianya direka bentuk untuk disepadukan dengan Autonomous Mobile Robot atau Robot Mudah Alih Autonomi (AMR) menggunakan sehingga enam kamera berbilang kedalaman yang diperuntukkan di bahagian bawah setiap sisi robot.

“Pengintegrasian AI dalam inovasi ini menawarkan penjejakan yang lebih berkesan serta pengesanan objek secara konsisten dan tepat.

“Ia berupaya untuk mengira margin selamat navigasi bagi AMR untuk melayari persekitarannya tanpa berlanggar dengan objek sekeliling.

“Ia juga boleh digunakan dalam pelbagai aplikasi lain termasuk pengecaman muka, realiti terimbuh, kawalan gerak isyarat dan pengimbasan 3D,” katanya.

Prof. Madya Dr. Abdul Hadi berkata, OQSenseTM merupakan solusi produk alternatif kepada penggunaan sensor Pengesanan dan Jarak Cahaya (LIDAR) untuk tujuan pengesanan objek persekitaran.

“Produk OQSenseTM adalah jauh lebih murah dan praktikal berbanding LIDAR.

“Ia mempunyai potensi untuk aplikasi yang melibatkan industri robot mudah alih dan boleh diadaptasi mengikut keperluan industri terutama sekali dalam industri perusahaan, logistik, serta komersil,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa hasil pelesenan produk dengan Move Robotics ini mampu diperluas dan ditambah baik dari segi penggunaan robot industri terutamanya di Malaysia.

Perjanjian pengkomersialan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin, Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi UKM, dan Ketua Pegawai Eksekutif Move Robotics Sdn Bhd, Mohd Hazeli Rasul.

Leave a Reply