UKM Pelopori Projek Pemerkasaan Mahasiswa

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 4 Oktober 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah universiti perintis dalam melaksana ‘Projek Pemerkasaan Mahasiswa’ selari dengan dasar pembangunan Malaysia Madani, Kementerian Pendidikan Tinggi.

Naib Canselor Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata UKM kini dijadikan sumber rujukan oleh Institut Pendidikan Tinggi yang lain dalam agenda ini.

“Projek ini memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk menjalankan aktiviti mereka.

“Empat Autonomi Mahasiswa dalam pemerkasaan ini telah pun kita jalankan dan pastinya kepimpinan mahasiswa UKM juga antara faktor keberjayaan projek ini,” katanya di Majlis Amanat Naib Canselor sempena Minggu Apresiasi Watan.

Beliau berpesan kepada pelajar baharu untuk rujuk kepada , Kesatuan Mahasiswa UKM sekiranya mempunyai masalah kerana mereka akan membawa segala kemusykilan kepada pihak pengurusan tertinggi.

Tambahnya, seluruh warga UKM adalah sebuah keluarga besar tanpa mengira budaya, bangsa dan agama yang membawa agenda perpaduan nasional.

Menurutnya, pelajar antarabangsa juga diraikan sebagai sebuah keluarga dan hal ini merupakan sebahagian daripada agenda pengantarabangsaan universiti.

“Pengantarabangsaan pendidikan tinggi sentiasa menjadi sebahagian daripada agenda penting bagi warga universiti untuk menjadikan sistem pendidikan kita lebih global dan terbuka kepada dunia.

“Kami percaya bahawa setiap orang harus mempunyai peluang yang sama untuk belajar dan merealisasikan potensi mereka pada skala global.

“Ambil lah segala peluang yang ada, kerana langkah anda takkan terhenti di sini sahaja,” katanya.

Leave a Reply