Dr Zaliha terima Anugerah Alumni Tersohor

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

CHERAS, 5 Oktober 2023 – Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menerima Anugerah Alumni Tersohor 2023 daripada Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pengiktirafan dibuat bagi meraikan kejayaan dan pencapaian beliau menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan khususnya di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekaligus menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada UKM khususnya Fakulti Perubatan kerana sudi menganugerahkan gelaran Alumni Tersohor. Sememangnya saya berasa amat bangga kerana berpeluang menuntut ilmu dan menimba pengalaman di fakulti ini,” katanya.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan syarahan ‘Reformasi Sistem Kesihatan yang Kalis Masa Hadapan’ yang menyentuh pelbagai isu kesihatan masyarakat di negara ini dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Katanya, tahap kesihatan rakyat Malaysia semakin menurun sejak 20 tahun kebelakangan ini.

“Dengan peredaran masa serta perubahan sosioekonomi, demografi dan gaya hidup rakyat, terdapat keperluan untuk menambah baik dan memperkukuhkan sistem kesihatan negara agar kalis dengan perubahan yang berlaku.

“Peningkatan kadar penyakit tidak berjangkit, penyakit berjangkit, kemunculan semula penyakit lama dan kemunculan penyakit baharu seperti COVID-19 membebankan lagi sistem penyampaian kesihatan negara.

“Keadaan ini telah menyedarkan semua pihak betapa perlunya reformasi atau penambahbaikan yang menyeluruh dan berstruktur kepada sistem kesihatan negara bagi memastikan kesihatan rakyat tetap terjaga,” jelasnya.

Penganugerahan Alumni Tersohor itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak.

Penerima-penerima Anugerah Alumni Tersohor sebelum ini adalah Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah (2020), Datuk Dr. Rohaizat Yon (2021), dan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Lokman Saim (2022).

Leave a Reply