Oleh Dr Muhammad Siddiq Fadhil
KAJANG, 22 Jun 2026 – Seramai 38 orang pelajar di bawah kursus Program Sains Bahan, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan lawatan akademik ke TNB Labs Sdn Bhd, sebagai sebahagian daripada inisiatif universiti merealisasikan pendekatan co‑design curriculum dan konsep “Classroom in Industry” dalam ekosistem pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai amalan industri sebenar di TNB Labs Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menjadi rujukan negara dalam pengujian, pensijilan dan analisis kegagalan komponen industri tenaga.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman yang turut sama dalam lawatan itu telah bertemu dengan Pengurus Besar TNB Labs Sdn Bhd, Ir. Dr. Ahmad Basri bagi membincangkan dua agenda utama, iaitu pembentukan kandungan kursus secara bersama (co‑design curriculum) dan pelaksanaan konsep “Classroom in Industry” yang menjadikan makmal TNB Labs sebagai extended classroom kepada pelajar UKM.
Prof. Ts. Dr. Norinsan berkata pendekatan tersebut adalah lanjutan kepada komitmen berterusan UKM dalam merapatkan jurang antara akademia dan industri demi memperkasa kebolehgraduan pelajar.
“Konsep Classroom in Industry yang kita realisasikan hari ini bukan sekadar lawatan biasa, tetapi merupakan pelanjutan bilik kuliah ke premis industri sebenar.
”Pelajar bukan sahaja melihat, malah mengalami sendiri amalan kerja yang menjadi standard di industri tenaga negara,” katanya.
Tambah beliau, pendedahan pelajar kepada pakar industri serta amalan kerja sebenar memberi nilai tambah yang signifikan dalam pembentukan kompetensi, sekali gus melengkapkan mereka bukan sahaja dengan teori akademik, malah dengan kemahiran teknikal kontemporari serta kefahaman tentang budaya kerja profesional.
Sementara itu, Ir. Dr. Ahmad Basri menyambut baik inisiatif kerjasama berkenaan dan menekankan kepentingan jalinan akademia-industri dalam membangunkan modal insan negara.
“Hubungan rapat antara industri dan institusi pengajian tinggi amat penting bagi memastikan kita dapat melahirkan modal insan yang benar-benar memenuhi keperluan negara, khususnya dalam sektor tenaga” ujarnya.
Lawatan ini menjadi titik permulaan kepada beberapa inisiatif kerjasama lain antara UKM dan TNB Labs Sdn Bhd, termasuk pembangunan modul kursus bersama dan latihan industri berstruktur pada masa hadapan.
Sepanjang lawatan, pelajar telah mengikuti dua sesi pembelajaran khusus yang dikendalikan oleh pakar industri TNB Labs iaitu Halian Adi Rizal yang berkongsi amalan praktis Quality Assurance (QA) serta piawaian pengurusan kualiti industri seperti ISO 9001, ISO 14001, ISO 45001, AS 9100D dan ISO 13485 mengikut sektor industri masing-masing.
Selain itu, pakar dalam bidang Failure Analysis, Wan Taufiq telah membentangkan kes-kes sebenar kegagalan komponen logam industri tenaga menggunakan koleksi sampel sebenar di makmal TNB Labs.
Pendekatan hands‑on tersebut memberi pelajar pengalaman pembelajaran yang sukar dicapai dalam dewan kuliah konvensional.


