Seni dan Penulisan Popular Jadi Medium Penyampaian Mesej Kesedaran Kesihatan Mental

Oleh Asmahanim Amir

SHAH ALAM, 22 Jun 2026 – Dalam era yang menyaksikan isu kesihatan mental yang semakin mendapat perhatian masyarakat, pendekatan advokasi tidak lagi terhad kepada ceramah kesihatan atau sesi kaunseling semata-mata.

Sebaliknya, seni dan penulisan popular kini muncul sebagai medium yang berkesan untuk menyampaikan mesej kesedaran, menggalakkan refleksi diri dan mengurangkan stigma berkaitan kesihatan mental.

Perkara ini dikongsikan oleh Pensyarah Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fitri Fareez Ramli melalui program Healing Minds: Art Therapy and Mental Health yang berlangsung Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, baru-baru ini.

Dalam program itu, Dr Fitri Fareez berkongsi pengalaman beliau sebagai penyelidik, penulis dan pelukis dalam menggunakan platform kreatif untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu kesihatan mental melalui ceramah bertajuk Dari Kanvas ke Komuniti: Peranan Seni dan Penulisan Popular dalam Advokasi Kesihatan Mental.”

Menurut beliau, seni mempunyai keupayaan untuk menyampaikan pengalaman emosi yang sukar diterjemahkan melalui kata-kata.

“Kadangkala seseorang tidak mampu menjelaskan apa yang dirasainya. Namun melalui lukisan dan tulisan, mereka dapat meluahkan emosi yang terpendam.

“Seni bukanlah sekadar produk yang mempunyai nilai estetika, tetapi juga sebagai medium komunikasi dan refleksi diri,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa karya seni boleh menjadi titik permulaan kepada perbincangan yang lebih luas mengenai tekanan hidup, kebimbangan, kemurungan dan kesejahteraan psikologi.

Selain seni visual, beliau menekankan kepentingan penulisan popular dalam meningkatkan kesedaran kesihatan mental kepada masyarakat umum.

Menurutnya, terdapat pelbagai sumber ilham yang boleh dikongsikan kepada umum termasuk isu semasa, pengalaman peribadi atau perkara yang dekat dengan masyarakat, kajian yang dijalankan dan bahan-bahan ilmiah yang lain.

“Penulisan popular pada masa ini tidak hanya tertumpu pada akhbar dan majalah semata-mata. Media sosial juga mempunyai peranan penting dalam advokasi kesihatan mental” jelas beliau.

Beliau percaya bahawa usaha memperluaskan akses kepada ilmu merupakan salah satu bentuk advokasi yang penting dalam membina masyarakat yang lebih peka terhadap isu kesihatan mental.

Sama ada melalui seni, penulisan atau perkongsian pengalaman, usaha kecil yang dilakukan secara konsisten mampu menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih peka, memahami dan menyokong kesejahteraan mental.

Program yang menghimpunkan pelajar UiTM itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman Melati dan dirasmikan oleh Pengetua kolej tersebut, Prof Madya Dr Nor Aizam Adnan.

Leave a Reply