UKM Santuni Pelajar Sekolah, Pilih Hala Tuju Kerjaya

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

JEMPOL, 26 Jun 2023 – Seramai 230 pelajar tingkatan empat dan lima menyertai program UKM Career@Community yang diadakan bagi membantu para pelajar dalam memilih hala tuju dan memberi panduan merancang masa depan kerjaya dengan lebih baik.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata program itu adalah platform yang tepat kepada para pelajar terutamanya pelajar tingkatan lima untuk mengenal minat dan eksplorasi kerjaya serta mengetahui cara dalam membuat perancangan hala tuju kerjaya.

“Dengan tema ‘Bakat Diasah, Masa Depan Digarap’, UKM yakin, kesedaran dalam perancangan kerjaya di peringkat awal adalah penting bagi merealisasikan impian kerjaya pelajar di masa hadapan,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian penutup program UKM Career@Community yang diadakan di Sekolah Menengah Agama Dato’ Haji Mustafa, di sini.

Beliau berkata melalui program ini, UKM telah memperkukuhkan konsep lingkaran empat pihak atau Quadruple Helix melalui kolaborasi universiti – agensi – industri – komuniti untuk memperkasakan kesejahteraan masyarakat.

“Saya berharap agar kerjasama antara UKM, agensi, industi dan komuniti yang terlibat bagi menjayakan program ini akan sentiasa menjadi keutamaan dan dapat diteruskan dalam pelbagai platform yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan pendidikan negara.

“Semoga para pelajar dapat memperoleh manfaat melalui program ini dan seterusnya merancang perjalanan kerjaya masa hadapan anda,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jempol dan Jelebu, Anuar Nordin berkata pihak PPD amat berterima kasih dan berbesar hati kerana UKM memilih pelajar di Negeri Sembilan untuk mengadakan program seperti ini.

“Kita rasa gembira Jabatan Pendidikan Negeri memilih pelajar-pelajar di daerah ini untuk menimba ilmu bersama warga UKM, khususnya bagi menilai minat dan bakat pelajar-pelajar di sini.

“Ini adalah platform terbaik kepada pelajar-pelajar dalam merancang masa hadapan. Kita sangat mengalu-alukan program-program seperti ini bagi membantu pelajar memilih haluan pengajian selepas tamat sekolah menengah,” katanya.

Program yang diadakan selama dua hari bermula 24 Jun 2023 itu adalah anjuran Kelab Urusetia Kerjaya UKM, dengan bimbingan dari Pusat Pembangunan Karier UKM. Lima buah sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Agama Dato’ Haji Mustafa, Sekolah Menengah Kebangsaan Pertang, Sekolah Menangah Kebangsaan Dato’ Undang Syed Ali Al-Jufri, Sekolah Menengah Kebangsaan Pasoh 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kikir.

Leave a Reply