UKMSC Lancar Logo Korporat Baharu, Umum Penjenamaan Semula

KUALA LUMPUR, 10 Mei 2024 – Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia atau UKM Specialist Centre (UKMSC) memperkenalkan logo korporat baharunya selepas lebih dua dekad beroperasi di bawah naungan UKM Holdings Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milikan penuh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Logo baharu di bawah jenama UKMSC itu adalah aspirasi syarikat dalam meningkatkan usaha penjagaan kesihatan yang kini telah banyak merubah corak perniagaan yang lebih terkehadapan dalam aspek inovasi teknologi serta dunia pendigitalan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKMSC, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata keperluan teknologi dalam perubatan adalah sangat penting kerana ia perlu seiring dengan perubahan dan penemuan pelbagai jenis penyakit baharu yang muncul serta menjadi cabaran utama kepada UUKMSC dalam menangani penyakit tersebut.

Menurut beliau yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah UKM, jumlah pesakit yang semakin ramai dan permintaan yang tinggi telah mendorong UKMSC untuk mewujudkan UKMSC2 yang akan mempunyai kapisiti lebih besar dan mampu menempatkan pesakit dengan lebih ramai dan selesa.

Pembangunan ini dijangka akan siap pada tahun 2026, tambahnya.

Majlis pelancaran logo baharu UKMSC itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry, kejayaan UKM dalam membangunkan UKMSC merupakan salah satu langkah kehadapan dalam memastikan kepakaran yang ada di peringkat UKM, universiti ini dapat menjana pendapatan sendiri.

Katanya ini merupakan salah satu langkah yang bagus dan dengan pengurusan kewangan serta tadbir urus yang baik, beliau percaya usaha-usaha sebegini akan memberikan pulangan yang baik kepada sesebuah universiti seperti mana yang dapat dilihat di UKM ini.

Beliau berkata daripada pemantauan yang dibuat oleh pihak KPT,  UKM telahpun membuat keuntungan, meskipun daripada matlamat yang tidak berdasarkan keuntungan semata-mata.

“Tetapi dari segi pengurusan universiti ini, mereka (UKM) dengan kepakaran yang ada dan permintaan untuk mendapatkan rawatan di UKMSC yang semakin tunggi, maka pembangunan UKMSC akan dilancarkan. Ini merupakan satu  lagi perkembangan yang baik dalam pengurusan universiti,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj.Toriman berkata, pelancaran logo baharu UKMSC ini merupakan satu langkah permulaan kepada penjenamaan semula hospital.

“UKMSC yang terletak di tingkat tujuh Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) merupakan entiti swasta dilihat sebagai langkah strategik bagi menyokong pengurusan HCTM membantu pesakit bagi yang berkeperluan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Kini, UKMSC mempunyai 56 katil, 140 orang pakar klinikal dan antara perkhidmatan utama yang ditawarkan adalah pembedahan, ortopedik, penyakit dalam, dan obstetrik dan ginekologi,” katanya.

Tambahnya, UKMSC menerima bilangan pesakit yang semakin meningkat mencapai 40,000 orang setahun.

Justeru, beliau memberikan sokongan penuh agar UKMSC mempunyai bangunannya sendiri bagi menampung permintaan semasa.

Leave a Reply