Ahli Akademik disaran Ikuti Perkembangan Teknologi Luar Negara

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

PUTRAJAYA, 6 Mei 2024 – Ahli akademi diingatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan teknologi yang berlaku di luar negara agar tidak terpinggir dalam penghasilan penyelidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata kebelakangan ini, negara-negara maju telah mula menggiatkan penggunaan teknologi Artificial Intelligence (AI) yang tidak disangkal lagi akan merevolusikan industri moden yang dijangka akan berlaku dalam masa yang terdekat.

“Pengenalan teknologi AI akan mengubah corak pemasaran, antaranya dalam bidang perundingan yang seharusnya diambil perhatian.

“Teknologi hijau juga telah menjadi agenda utama dalam dialog antarabangsa dewasa ini. Pelbagai negara termasuklah negara kita telah mula mengorak langkah bagi menerapkan penggunaan teknologi ini dalam pelbagai sektor terutamanya industri,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Malam Gala Perundingan UKM Pakarunding 2024, di sini.

Bagi menggalakkan budaya tersebut, beliau berkata kerajaan telah menawarkan pelbagai insentif dan polisi telah diperkenalkan seperti penerapan ESG.

“Justeru, saya menyeru agar para hadirin cakna akan teknologi-teknologi baharu ini dalam memastikan kita tidak ketinggalan dalam perlumbaan untuk meneroka cabang-cabang baharu yang sudah pastinya akan memberi perubahan drastik kepada sektor perindustrian negara kita,” ujar beliau.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Dato’ Gs TS Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata seiring dengan objektif kerajaan dalam memperkasakan kepakaran dalam negara, UKM Pakarunding telah memainkan peranan sebagai pemula sebuah syarikat perunding akademik berwawasan dalam menyahut dan memperkasakan cadangan pembentukan Konsortium Perundingan Universiti Awam atau Public University Consulting Consortium.

“Konsortium Ini akan membolehkan UKM Pakarunding bersama universiti-universiti awam lain seperti UM Consult, Putra Consultancy dan Unitechnologies dapat berganding bahu dalam menyediakan khidmat nasihat dan jururunding yang berkualiti, cekap dan berdaya saing untuk memenuhi keperluan perundingan kerajaan, entiti korporat dan masyarakat secara menyeluruh bukan sahaja di dalam negara malahan juga di peringkat antarabangsa.

“Saya yakin melalui konsolidasi sumber kepakaran dalam kalangan universiti, konsortium ini berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab global untuk kepakaran perundingan dan menarik lebih banyak pelaburan industri. Ia juga akan menghubungkan pendidikan tinggi Malaysia secara terus ke peringkat global menerusi kerjasama perundingan antarabangsa,” katanya.

Leave a Reply