Usia 79 tahun bukan penghalang genggam PhD

Oleh Murniati Abu Karim dan Preti Kaur Gill
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 Disember 2023 – Faktor usia bukan penghalang bagi seorang pesara guru untuk menamatkan pengajian di peringkat tertinggi sehingga berjaya menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 79 tahun.

Dr Muharam Awang telah memulakan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Kesusasteraan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak lapan tahun lalu.

Bapa tujuh anak dan 17 cucu itu berazam untuk menyaksikan seramai 7,255 graduan menerima ijazah masing-masing di Dewan Canselor Tun Abdul Razak 

Beliau menghadapi masalah mata kabur ekoran katarak terpaksa meminta bantuan anak-anak untuk menyiapkan tesis kajian beliau.

Atas halangan tersebut, beliau terpaksa meminta anaknya yang tinggal di Batu Pahat, Johor untuk menaip tesis bagi kajian yang dilaksanakan selepas mendapat tunjuk ajar dan sokongan daripada penyelianya, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (Bitara Melayu), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM Dr. Zubir Idris.

“Sewaktu mahu menyiapkan tesis, mata saya kabur dan saya tidak dapat membaca. Ketika itulah saya terpaksa meminta bantuan anak-anak untuk menaip semula tesis kajian saya.

“Pada Mei lalu, saya menjalani pembedahan katarak dan alhamdulillah, pandangan pulih dan saya berjaya menyiapkan tesis tersebut,” katanya.

Menurut Muharam, beliau pernah berasa rendah diri sewaktu masih di profesion perguruan dan mahu menjadikan ini satu kepuasan yang cukup bermakna buat dirinya.

“Dulu saya mengajar di sekolah rendah dan pada waktu itu sangat berbeza yang mana guru sekolah menengah dipandang tinggi. Dari situ wujud rasa rendah diri ditambah lagi saya pernah dicabar.

“Jadi saya sambung pengajian diploma pada tahun 1965 dan seterusnya di UKM. Saya pernah mengajar tingkatan enam untuk subjek Pengajian Am selain bersara sebagai tenaga pengajar di kolej,” ujarnya.

Perjuangan Muharam tidak terhenti di situ apabila beliau melanjutkan pengajian ke peringkat PhD, kesemuanya dilakukan kerana sikapnya yang cintakan dan dahagakan ilmu.

“Tesis untuk PhD memang berat dan pada peringkat awal, saya berdepan banyak masalah ditambah lagi memerlukan kemahiran komputer. Perkara teknikal ini bagi saya susah.

“Alhamdulillah anak-anak sangat membantu selain pertolongan penyelia serta sokongan isteri, Fuziah Md. Taha, 71. Anak dan cucu saya pun melanjutkan pengajian ke universiti sekali gus mereka juga motivasi kepada saya,” katanya.

Graduan warga emas ini berulang alik dari Melaka ke UKM untuk menghadiri kelas dan bertemu penyelianya. Bagi beliau, pengalaman belajar sehingga ke peringkat PhD adalah satu kepuasan yang sukar diterjemah dengan kata-kata. 

Muharam menerima skrol PhD Kesusasteraan Melayu yang disampaikan oleh Pro-Canselor UKM, Tan Sri Mohd. Zuki Ali pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-51. Majlis turut menyaksikan seramai 7,255 graduan menerima ijazah masing-masing di Dewan Canselor Tun Abdul Razak.

Leave a Reply