Semua Orang Berisiko Menjadi Mangsa Jenayah Scam

Oleh Ayu Maisarah Lutas Asril dan Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 Disember 2023 – Penerima Anugerah Emas Sarjana, Fatin Adha Murad mendapati tiada perbezaan antara faktor psikologi dan kognitif antara kumpulan mangsa dan bukan mangsa jenayah scam.

Hal ini bermaksud, semua orang mempunyai risiko untuk menjadi mangsa jenayah penipuan komersil tanpa mengira faktor psikologikal dan kognitif mereka, jelasnya.

Tujuan kajian beliau adalah untuk melihat sejauh mana pengaruh psikologi dan kognitif terhadap risiko seseorang untuk menjadi mangsa jenayah scam atau penipuan.

“Kajian ini juga menunjukkan bahawa kehadiran gaya kognitif Rasionaliti dapat mengurangkan risiko pemangsaan jenayah komersil bagi individu yang mempunyai personaliti Kehematan dan Neurotisisme.

“Justeru, adalah penting bagi setiap orang, lebih-lebih lagi mereka yang berpersonaliti ‘kehematan’ dan ‘neurotisisme’ untuk berfikir dengan rasional apabila mereka didatangi oleh penjenayah komersil yang menggunakan pelbagai teknik pemujukan dan paksaan untuk memperdayakan mangsa mereka,” katanya.

Antara pencapaian cemerlang Fatin Adha Murad adalah beliau telah menerbitkan tujuh makalah dalam penerbitan tersohor berkaitan bidang pengajian merangkumi makalah jurnal dan bab dalam buku.

Beliau banyak menyertai persidangan di peringkat antarabangsa, disamping bergiat aktif dalam jawatankuasa persatuan dan aktiviti di peringkat kebangsaan dan universiti.

Menyentuh menegenai rahsia kejayaannya, beliau berkata disiplin dan konsisten adalah kunci kejayaannya.

“Setiap pagi, saya akan menyenaraikan beberapa perkara yang perlu saya capai dan berusaha untuk memenuhi matlamat tersebut.

“Sekiranya perkara yang saya mahu capai itu besar, saya akan pecahkan kepada beberapa bahagian kecil dan fokus kepada bahagian-bahagian tersebut,” katanya.

Menurutnya, beliau akan ubah tempat belajar dan cara belajar jika sudah bosan dengan jadual hariannya.

“Saya akan mengubah tempat saya belajar dari belajar di rumah kepada belajar di perpustakaan ataupun di sekitar kawasan UKM.

“Selain itu, saya akan juga ubah cara belajar saya dengan belajar bersama-sama dengan rakan-rakan saya berbanding belajar secara bersendirian,” katanya.

Leave a Reply