Warga Emas Perlu Lebih Berhati-Hati Terhadap Penipuan Dalam Talian

Oleh Salleh Sulieman
Foto Institut Informatik Visual

BANGI, 15 Januari 2026 Warga emas merupakan kumpulan paling terdedah kepada jenayah penipuan dalam talian, dengan kerugian direkodkan sebanyak RM986.15 juta melibatkan 3,837 kes di Malaysia berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tahun 2024. Kes ini pula meningkat lebih 80 peratus pada tahun 2025.

Menurut Dr. Norshita Mat Nayan, penyelidik di Institut Informatik Visual (IVI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), statistik tersebut menunjukkan bahawa warga emas bukan sahaja menjadi sasaran utama penjenayah siber, malah turut mengalami kesan psikologi yang serius akibat kehilangan wang simpanan mereka.

“Mangsa penipuan lazimnya berasa malu, sedih dan kecewa selepas menyedari mereka telah diperdaya.

“Keadaan ini menyebabkan mangsa trauma sehingga takut menjawab panggilan telefon, menggunakan internet dan berkomunikasi secara meluas.

“Simpanan yang dikumpul bertahun-tahun boleh lenyap dalam sekelip mata, termasuk wang pencen dan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akibat panggilan palsu,” jelas beliau.

Menurut Dr. Norshita, penipuan dalam talian atau scam merujuk kepada aktiviti penipuan terancang oleh individu atau kumpulan tertentu.

Aktiviti ini memperdaya mangsa melalui panggilan telefon, mesej teks, media sosial atau laman web palsu bagi mendapatkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, butiran akaun bank, kod TAC atau wang simpanan, jelasnya.

Beliau turut menambah bahawa jenayah ini boleh dikenal pasti melalui beberapa petunjuk awal.

“Panggilan yang bernada cemas dan berunsur ugutan merupakan antara taktik utama. Penjenayah juga akan meminta maklumat perbankan serta menjanjikan pulangan yang tinggi dengan risiko yang rendah.

“Sekiranya mangsa mengambil masa untuk memberi maklum balas, penjenayah akan mendesak mangsa membuat keputusan dengan segera,” katanya.

Beliau menyarankan agar warga emas yang menerima mesej atau panggilan mencurigakan disarankan untuk membuat semakan keselamatan terlebih dahulu.

“Antaranya ialah dengan menggunakan aplikasi pengenalan pemanggil seperti Whoscall, Truecaller dan GetContact bagi mengesan nombor telefon yang berpotensi mencurigakan.

“Tindakan pantas dalam mengenal pasti taktik penipuan bukan sahaja dapat mengurangkan risiko warga emas menjadi mangsa, malah berperanan penting dalam meningkatkan kesedaran awam melalui perkongsian maklumat yang tepat dan berfakta,” katanya.

Dr. Norshita turut mengetuai pasukan penyelidik dalam membangunkan Modul Kesedaran Anti-Scam: Meningkatkan Literasi Digital Warga Emas sebagai satu intervensi untuk meningkatkan kesedaran dan literasi digital golongan tersebut.

Modul ini bukan sahaja mendedahkan taktik-taktik penipuan digital, malah menekankan aspek pengurusan privasi, keselamatan maklumat peribadi, serta langkah perlindungan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

Beliau berharap agar modul ini dapat dimanfaatkan secara meluas oleh persatuan penduduk, NGO, dan agensi berkaitan, serta dijadikan model rujukan untuk pelaksanaan program kesedaran anti-scam di peringkat yang lebih luas.

Leave a Reply