Oleh Muhammad Hazriq Hamqa Shaharudin
Foto oleh Izwan Azman
BANGI, 17 APRIL 2025 – Dalam semangat Syawal yang penuh keberkatan, Fakulti Undang-Undang (FUU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertemakan ‘Warna-Warni Serumpun’ yang bukan sahaja meraikan tradisi, malah memperkukuh jaringan ukhuwah serta semangat komuniti sejagat.
Majlis yang berlangsung di foyer fakulti itu menghimpunkan pelbagai lapisan tetamu termasuk pengurusan tertinggi universiti, Dekan dan Pengarah Pusat Tanggungjawab, alumni, rakan industri, komuniti serta seluruh warga FUU.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor turut meluangkan masa hadir ke majlis tersebut.
Dalam ucapan perasmian, Prof. Dr. Abdul Halim menzahirkan penghargaan terhadap usaha fakulti dalam memacu kecemerlangan yang holistik.
“Sambutan seperti ini bukan sahaja menyemai semangat perpaduan, tetapi turut mencerminkan wajah UKM yang inklusif, berdaya saing dan berjiwa masyarakat.
“Fakulti Undang-Undang telah membuktikan bahawa kecemerlangan akademik boleh bergerak seiring dengan tanggungjawab sosial dan nilai kemanusiaan,” katanya yang turut melancarkan Mercu Tanda dan Papan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) FUU@UKM pada majlis tersebut.
Beliau turut menyatakan komitmen universiti untuk terus menyokong inisiatif fakulti yang menjadikan pendidikan sebagai wahana pembangunan insan sejagat.
“Mercu Tanda dan SDG Wall yang dilancarkan hari ini adalah simbol iltizam kita bersama… bahawa universiti bukan hanya tempat menimba ilmu, tetapi medan mencorak masa depan yang mampan dan berimpak tinggi,” ujarnya.
Majlis sambutan hari raya itu turut meraikan kejayaan membanggakan Pasukan Jessup FUU UKM yang mencipta sejarah di pentas antarabangsa apabila dinobatkan sebagai pasukan ke-11 terbaik dunia dan pasukan terbaik dari Malaysia dalam pertandingan Philip C. Jessup International Law Moot Court Competition 2025 yang berlangsung di Washington D.C.
Dekan FUU, Prof. Dr. Rasyikah Md. Khalid berkata kejayaan itu bukan sekadar kemenangan pertandingan, tetapi ia adalah manifestasi keunggulan pendidikan guaman UKM di persada global.
Sebagai menghayati erti sebenar Aidilfitri, FUU turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada 17 anak yatim dari Rumah Bakti Al-Kausar, Bandar Baru Bangi.
Dengan kehadiran tetamu dari pelbagai latar belakang etnik secara global yang selaras dengan tema hari raya fakulti pada tahun ini dan sokongan padu pelbagai pihak, sambutan ini menjadi bukti bahawa FUU UKM bukan sahaja menjuarai bidang perundangan, malah mendepani peranan sebagai fakulti yang berjiwa komuniti dan bertaraf dunia.
