𝐔𝐊𝐌 𝐑𝐚𝐢 𝟐𝟒𝟓 𝐆𝐫𝐚𝐝𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐮𝐦𝐩𝐮𝐥𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐝𝐮𝐚 𝐒𝐢𝐣𝐢𝐥 𝐏𝐫𝐨𝐟𝐞𝐬𝐢𝐨𝐧𝐚𝐥 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐮𝐫𝐮𝐬𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐮𝐧𝐜𝐢𝐭𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐚𝐦𝐚 𝟗𝟗 𝐒𝐩𝐞𝐞𝐝 𝐌𝐚𝐫𝐭

Seramai 245 graduan kumpulan kedua Sijil Profesional Pengurusan Peruncitan bersama 99 Speed Mart yang terdiri daripada Pengurus Cawangan (Branches Manager) diraikan dalam majlis graduasi yang diadakan di Bangi Resort Hotel, hari ini.
Program sijil profesional yang diuruskan oleh UKM Pakarunding Sdn. Bhd., bersama tenaga pakar dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini merupakan inisiatif strategik bagi menyokong hasrat 99 Speed Mart, sebagai sebuah syarikat peruncitan tempatan yang telah disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada tahun 2024 dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja sektor peruncitan.
Inisiatif itu juga selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), yang bertujuan memperkasa modal insan untuk memenuhi keperluan industri yang kian mencabar.
Program Sijil Profesional ini dirangka untuk melengkapkan peserta dengan gabungan pengetahuan teoretikal dan praktikal bagi meningkatkan kecekapan dalam menguruskan organisasi runcit dengan lebih berkesan.
Program ini merangkumi tujuh modul utama yang dibangunkan secara khusus oleh tenaga pengajar FEP iaitu Pengurusan Peruncitan, Pengurusan Operasi Peruncitan, Kelakuan Organisasi Peruncitan, Pengurusan Sumber Manusia Peruncitan, Perakaunan dan Kawalan Dalaman Peruncitan, Kelakuan Pengguna Runcit serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam Peruncitan.
Pro Naib Canselor Strategi dan Kewatanan, Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan hadir merasmikan majlis dan menyampaikan sijil kepada semua peserta.
Turut hadir Pro Naib Canselor Penjanaan dan Prasarana, Prof. Sr. Ts. Dr. Adi Irfan Che Ani; Ketua Pegawai Operasi 99 Speedmart Retail Holdings Berhad, Tuan Yong Eng Kwang dan Dekan FEP, Prof. Dr. Mohd Azlan Shah Zaidi.

Pautan Berita