Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina

Program Ijazah Sarjana Muda

Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian

Di UKM, Program Kejuruteraan Awam telah dirancang dan direka bentuk untuk memenuhi tuntutan seperti yang disebutkan sebelum ini. Pelbagai bidang kejuruteraan awam diselaraskan melalui kumpulan kepakaran seperti kumpu- lan kejuruteraan struktur, kumpulan kejuruteraan bahan, kumpulan pengurusan projek dan pembinaan, kumpulan kejuruteraan geoteknik dan geosekitaran, kumpulan kejuruteraan sumber air dan sekitaran dan kumpulan kejuruteraan pengangkutan. Tenaga tenaga pengajar program mempunyai kelayakan akademik dan profesional yang diperlukan untuk mengendalikan kursus kejuruteraan awam.

Makmal-makmal juga dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan terkini untuk kerja kursus dan penyelidikan. Dengan jumlah peralatan yang melebihi RM20 juta, makmal kejuruteraan awam mampu mengendalikan kerja makmal untuk pengajaran dan penyelidikan yang berkualiti sehingga keperingkat yang tertinggi.

Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik & Elektronik dengan Kepujian

Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem (JKEES) merupakan salah satu jabatan terawal di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina. Bermula sebagai Unit Elektronik di Jabatan Fizik, Fakulti Sains pada 1hb Mei 1978, ianya telah berkembang dan akhirnya dinaiktaraf kepada Jabatan Elektronik di Fakulti Sains Fizik dan Gunaan. Dengan usaha gigih ahli-ahli akademik Jabatan Elektronik dan Jabatan Teknologi Kimia, maka Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina telah ditubuhkan pada 1hb November 1984. Dengan penubuhan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, nama jabatan telah diubah kepada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem. Setelah hampir 33 tahun selepas itu, melalui satu proses penstrukturan baru di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina pada tahun 2018, jabatan ini telah diberi nama baru dan dikenali sebagai Program Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Nama jabatan ditukar kembali kepada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem pada tahun 2020.

Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian

Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses (JKKP) telah ditubuhkan pada 1984. JKKP menawarkan program prasiswazah iaitu Program Kejuruteraan Kimia 4 tahun di bawah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina. Sebelum ini, Program Kejuruteraan Biokimia juga ditawarkan, tetapi bermula sesi akademik 2015/2016, penstrukturan baru Program Kejuruteraan Kimia yang menyepadukan aspek Kejuruteraan Biokimia dilaksanakan sehingga sekarang. Perubahan dilakukan agar selari dengan keperluan akreditasi dan juga industri yang menginginkan graduan kejuruteraan kimia yang mahir dalam kedua-dua cabang kejuruteraan tersebut. Kejuruteraan Kimia merupakan satu disiplin kejuruteraan yang menggunakan prinsip sains, kejuruteraan, ekonomi, keselamatan proses dan kelestarian untuk menghasilkan keluaran seperti bahan api, bahan kimia, bahan berguna dan produk nilai tinggi dalam pelbagai bidang termasuk bahan termaju, makanan, dan lain-lain lagi melalui transformasi proses kimia. Justeru, struktur program yang seimbang dan holistik direkabentuk sepanjang 8 semester yang menggabungkan aspek ilmu teras dan aplikasi dalam kejuruteraan kimia bagi melahirkan graduan yang berilmu dan kompeten.

Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian

Jabatan menawarkan satu program prasiswazah iaitu Program Kejuruteraan Mekanikal. Pelajar bagi Program Kejuruteraan Mekanikal perlu menyempurnakan kursus dalam bidang kejuruteraan mekanikal bermula dari semester satu hingga lapan. Setiap kursus teras jabatan mengandungi sesi amali yang berkaitan dan penilaian kursus yang merangkumi unsur-unsur peperiksaan dan kerja amali. Pada semester terakhir pengajian, penekanan diberikan kepada bidang termasuk bidang pengurusan projek, ekonomi dan perancangan pengeluaran. Pelajar diwajibkan mengikuti beberapa kursus di dalam bidangbidang ini. Ini selaras dengan matlamat jabatan untuk menghasilkan jurutera yang mempunyai pengetahuan mendalam dalam bidang ekonomi dan selokbelok pengurusan. Jabatan mewajibkan pelajar untuk menjalankan suatu projek penyelidikan melalui Projek Ilmiah I dan II pada dua semester terakhir dengan bimbingan pensyarah jabatan. Ianya merupakan pra-syarat untuk pelajar tamat pengajian. Pelajar juga diberikan sedikit kebebasan untuk menjurus ke dalam kursus-kursus elektif dalam pengkhususan bidang termo bendalir, tenaga, pemprosesan bahan, mekanik gunaan dan pembuatan bagi kejuruteraan mekanik. Pelajar perlu memilih lima belas (15) unit elektif untuk Program Kejuruteraan Mekanik daripada kursus-kursus elektif yang ditawarkan. Kursus-kursus elektif tersebut adalah mencerminkan keperluan semasa di dalam bidang-bidang pengkhususan yang diambil dan juga mengikut keperluan industri yang akan dikemas kini dari masa ke masa.

Sarjana Muda Sains dalam Seni Bina dengan Kepujian

Jabatan Seni Bina dan Alam Bina telah ditubuhkan pada tahun 2002. Program prasiswazah yang ditawarkan ialah Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian (LAM Bahagian I). Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian (LAM Bahagian I) adalah ijazah separa-profesional. Ia merangkumi kursuskursus seperti studio reka bentuk, sejarah dan teori seni bina, sains persekitaran, struktur bangunan, kemudahan bangunan, komunikasi seni bina, teknologi dan bahan binaan bangunan. Program ini berorientasikan kerja-kerja kursus studio reka bentuk, iaitu teras utama kepada program ini.