Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan penghargaan atas kejayaan penganjuran Program Usahawan Wanita dengan Kemahiran AI & Teknologi Futuristik yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong. Program ini merupakan inisiatif bersama Kementerian dan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam memperkasa usahawan wanita melalui pendigitalan strategi perniagaan, jualan dan pemasaran berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr. Nor Hafizah Adnan, Tokoh PERANTIS Wanita 2025, atas kepimpinan, kepercayaan dan inspirasi yang diberikan dalam merealisasikan inisiatif nasional yang penuh impak ini. Penghargaan khusus juga kepada Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Nordin, Pengarah UKM ISN-SDG selaku penasihat program, atas bimbingan, sokongan dan komitmen berterusan dalam menjayakan agenda pemerkasaan wanita dan teknologi masa hadapan.
Program ini telah membimbing para usahawan wanita untuk mengaplikasikan AI dalam membangunkan poster, laman sesawang, lagu korporat, profil syarikat serta memperkukuh strategi pemasaran produk. Usaha ini amat signifikan dalam memastikan kelangsungan dan daya saing perniagaan mereka di peringkat tempatan mahupun global. Semoga lebih ramai usahawan wanita terus berani melangkah ke hadapan dengan memanfaatkan teknologi futuristik demi transformasi perniagaan yang mampan.
Terima kasih juga kepada seluruh pasukan penganjur dan rakan kolaborasi yang telah memainkan pelbagai peranan dalam menjayakan program ini, termasuk sebagai jurulatih, pengurus reruai peserta, penyelaras majlis dan ahli jawatankuasa pelaksana. Penghargaan kepada pihak industri atas sokongan peralatan digital yang menyokong proses pembelajaran dan pelaksanaan program.
Semoga kerjasama strategik antara agensi kerajaan, universiti dan pemain industri ini akan terus diperkukuh demi melahirkan lebih ramai usahawan wanita berdaya saing, celik AI dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.