Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Program Jelajah Siri 1 dan Majlis Pengiktirafan EKSA UKM 2025 bagi melihat pelaksanaan EKSA di beberapa Pusat Tanggungjawab (PTj) yang terlibat.
EKSA atau Ekosistem Kondusif Sektor Awam adalah satu inisiatif yang bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih efisien, produktif dan mesra pengguna. Melalui EKSA, setiap PTj di UKM melaksanakan amalan-amalan terbaik bagi memastikan ekosistem yang kondusif dapat dicapai.
Program yang dirasmikan oleh Pendaftar, Tuan Hj Zanudin Mohd Daud itu telah menjelajah lima hentian yang melibatkan beberapa PTJ iaitu Hentian 1 (Pusat Islam), Hentian 2 (Fakulti Pengajian Islam), Hentian 3 (Perpustaakn Tun Seri Lanang dan Forensik), Hentian 4 (Pusat Karier dan Pusat Hal Ehwal Pelajar) dan Hentian 5 (Pusat Komunikasi Korporat, Pusat Strategi, Yayasan Canselor, Profesional-UKM dan Jana@UKM).
Dalam ucapan, Tuan Haji Zanudin berkata program EKSA itu adalah gambaran bahawa UKM kini sederap mengorak langkah bersama Universiti Awam yang lain untuk menjadikan EKSA sebagai agenda peningkatan pembudayaan kualiti dan inovasi dalam kalangan warga UKM. Beliau berharap agar pelaksaan EKSA di UKM akan dapat memberikan impak keberhasilan yang baik kepada seluruh warga UKM.
Pada majlis penutup, beliau telah menyambaikan hadiah kepada pemenang yang meliputi Sijil Penarafan Bintang, PTj tiga terbaik bagi sesi audit EKSA dan Persembahan Hentian Terbaik. Hadir sama Ketua Pustakawan, Encik Hazmir Hj Zaina; Ketua Pusat Jaminan Kualiti, Prof Dr Kamisah Osman dan Pengarah Pusat Perhubungan Strategik Antarabangsa, dan Matlamat Pembangunan Mampan UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin.
