Jabatan Perubatan Keluarga

 Fakulti Perubatan

PENGENALAN

Jabatan Perubatan Keluarga telah ditubuhkan pada November 1992 sejajar memenuhi keperluan negara untuk menyediakan pakar dalam bidang ini yang kompeten dalam menyediakan perubatan holistik dan berterusan dalam penjagaan pesakit di peringkat rawatan am atau primer di kawasan bandar dan luar bandar.

Pelaksanaan program pascasiswazah pada bulan Julai 1993 telah menandakan satu era baru dalam pembangunan sumber manusia perkhidmatan awam dalam sektor kesihatan di Malaysia. Hubungan yang dijalin berasaskan kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan. Jabatan itu bertujuan untuk menggabungkan kecemerlangan dalam pendidikan dan penyelidikan serta menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat.

SEJARAH

Pada tahun 1989, beberapa perbincangan telah diadakan di antara Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan College of  General Practitioners of Malaysia (kini dikenali sebagai Academy of Family Physicians of Malaysia, AFPM) mengenai keperluan program bagi doktor yang memilih untuk menjalankan tugas di dalam ‘General Practice’.

Satu kertas kerja konsep untuk perbincangan bersama Kementerian Kesihatan telah diadakan pada bulan Ogos 1989. Kementerian Kesihatan memberi sokongan bagi membangunkan satu program peringkat pascasiswazah, dan juga memberi pandangan serta cadangan dalam bentuk kertas konsep awal mereka sendiri. Kertas kerja mengenai program yang dicadangkan itu telah disediakan oleh Jabatan Pendidikan Perubatan UKM pada bulan Ogos 1990.

Adalah dipersetujui bahawa:

  • Program tersebut tidak akan menjadi campuran program pakar seperti Perubatan Dalaman, Surgeri, Obstetrik dan Ginekologi dan sebagainya. Ia merupakan kepakarannya tersendiri, dengan memberi fokus terhadap rawatan individu serta keluarga. Siswazah sepatutnya dapat berfungsi dengan sendirinya, iaitu untuk merawat pesakit secara berterusan termasuk mereka yang memerlukan rawatan rumit.
  • Program tersebut akan dapat menyokong sistem perkhidmatan kesihatan dengan meningkatkan kompetensi pegawai-pegawai perubatan di Pusat-pusat Kesihatan, poliklinik-poliklinik dan Jabatan Pesakit Luar (OPD) Hospital-hospital Besar dan Daerah.
  • UKM akan membangunkan program ini dengan memastikan perkhidmatan rawatan pesakit di hospital serta klinik-klinik di Kemeterian Kesihatan, tidak akan terjejas apabila pegawai-pegawai perubatan menyertai Program Sarjana Perubatan Keluarga.
  • Universiti Kebangsaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan merupakan penyumbang bersama kepada program ini
  • Kementerian Kesihatan akan mengambil kira struktur kerjaya Pakar-pakar Perubatan Keluarga dan aktiviti bagi mewujudkan jawatan-jawatan super scale dilakukan.
  • Jawatankuasa Kurikulum akan ditubuhkan dan akan dipengerusikan oleh Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan UKM, dengan sekretariatnya di Fakulti Perubatan UKM.

Akhirnya Jabatan Perubatan Keluarga telah ditubuhkan pada bulan November 1992 khasnya untuk menyokong perlaksanaan program tersebut.

Pengasas serta perintis yang bertanggungjawab menggubal kurikulum Perubatan Keluarga di Fakulti Perubatan adalah Profesor Datin Dr Chin Gek Liew, Profesor Nik Safiah Nik Ismail and Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Shahabudin.

Bermula dengan hanya 2 pensyarah sepenuh masa, Profesor Datin Dr Chin Gek Liew dan Dr Kua Siew Kim, dan  dengan sokongan padu dari Pakar-pakar Perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan penasihat dari beberapa buah universiti dari luar negara, program ini telah bermula dengan pengambilan  5 orang pascasiswazah, bagi sesi pertama dalam tahun 1993. Setelah 24 tahun selepas pembentukan Jabatan, pada sesi 2014/2015, jabatan kini mempunyai sejumlah 15 pensyarah sebagai tenaga pengajar  dan 84 pascasiswazah. Ini bermakna pada sesi tersebut nisbah pesyarah:pascasiswazah ialah 1:6.5, selepas mengambilkira pensyarah yang bercuti dan dipinjamkan ke Institiusi pengajian lain. Jumlah ini sentiasa dikemaskini untuk memastikan kemajuan yang baik.