Sesi Santai Mesra Bersama YAB Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama Warga Perkhidmatan Awam

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) antara 500 penjawat awam Zon Tengah yang menyertai Sesi Santai Mesra YAB Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara Bersama Warga Perkhidmatan Awam, yang berlangsung di Dewan Sultan Idris Shah (DSIS), Universiti Islam Selangor, Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor bagi memperkukuh hubungan antara kepimpinan tertinggi negara dengan penjawat awam.

UKM dihadiri oleh wakil pekerja daripada Kesatuan Kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia (KESUKMA) yang diketuai oleh Encik Barudin Bin Baharin, Presiden KESUKMA, bersama beberapa wakil kesatuan. Penyertaan ini mencerminkan komitmen UKM dalam menyokong usaha kerajaan memperkukuh hubungan antara kepimpinan negara dengan warga perkhidmatan awam, di samping membawa suara serta aspirasi warga UKM.

Program yang berteraskan aspirasi Malaysia MADANI dan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) ini menjadi platform interaksi dua hala bagi mendapatkan pandangan, maklum balas dan cadangan penambahbaikan ke arah memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam serta meningkatkan kesejahteraan warga kerja.

Pada sesi sebelah pagi, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar membuka ruang kepada penjawat awam untuk bertukar pandangan mengenai keutamaan semasa kerajaan serta pelaksanaan ARPA. Dalam ucapannya, Tan Sri Shamsul Azri menegaskan bahawa setiap jawatan yang disandang dalam perkhidmatan awam merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan komitmen. Beliau turut menyeru penjawat awam agar terus melaksanakan penambahbaikan berterusan demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Majlis kemudiannya disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, yang turut menyampaikan amanat kepada peserta. Beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam atas sumbangan dan komitmen mereka dalam menjayakan agenda pembangunan negara.

Turut hadir ialah YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah, Naib Cancelor Universiti Islam Selangor.serta dif-dif kehormat yang lain.

Gambar penuh di Facebook KESUKMA

Similar Posts