Takziah – YABhg. Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Pro Canselor UKM

‎إنا لله وإنا إليه راجعون
‎ اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه

Kolej Keris Mas ingin merakamkan ucapan salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang kembali ke Rahmatullah awal pagi tadi di HCTM UKM.

Untuk makluman semua, Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid merupakan Pro Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia. Menurut sumber laman facebook Prof. Dato’ Ts Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Allahyarham Tun Ahmad Sarji telah dilantik sebagai Pro Canselor sejak 2007.

Beliau telah banyak memberi sumbangan terhadap perkembangan dan kemajuan UKM. Kepakaran Allahyarham dalam bidang perkhidmatan awam dan korporat telah banyak membantu Universiti Kebangsaan Malaysia dalam meningkatkan keterselahannya di mata orang awam.

Tambah Prof. dato Ts Dr Mohd Ekhwan, Kenangan bersama Allahyarham Tun kini terus diabadikan di Anjung Pro Canselor Tun Ahmad Sarji di Perpustakaan Tun Seri Lanang untuk tatapan seluruh warga UKM.

Sesungguhnya terlalu banyak sumbangan yang telah dilakukan terhadap UKM. Pemergian Allahyarham Tun adalah suatu kehilangan besar kepada universiti watan kita dan ia tiada galang gantinya.

Al-fatihah buat Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.