MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Kepekaan Tarif terhadap Prestasi Eksport Minyak Sawit di Malaysia

Grant Category, Year:  Cluster Research Grant, 2017 

Abstract

Sepanjang beberapa dekad yang lalu, industri minyak sawit telah bertumbuh dengan ketara menjadi peneraju di antara minyak sayuran utama di dunia. Pada tahun 2014, bekalan minyak sayur-sayuran berjumlah 176 juta metrik tan, dan minyak sawit sahaja menyumbang kira-kira 35% diikuti oleh minyak kacang soya yang menyumbang kira-kira 28% (USDA, 2015). Ciri-ciri unggulnya untuk beberapa kegunaan makanan dan perindustrian ditambah pula dengan kelebihan ekonomi dan teknologi yang menarik, merangkumi kebangkitan minyak sawit dalam pasaran minyak dan lemak global. Berdasarkan Oil World 2016, pengeluaran kelapa sawit dunia masih didominasi oleh negara-negara di Asia Tenggara dan Afrika. Indonesia merupakan negara penghasil kelapa sawit nombor satu di dunia dengan kapasiti pengeluaran mencapai 35,00 juta tan. Negara jirannya Malaysia adalah pengeluar kedua, dengan pengeluaran pada tahun 2016 sebanyak 21,00 juta tan. Pengeluar ketiga adalah Thailand dengan jumlah pengeluaran 2,30 juta tan seterusnya Colombia sebanyak 1,18 juta tan. Industri sawit merupakan tunggak kepada ekonomi Malaysia dan Indonesia, dan memainkan peranan penting membekal sumber makanan dan tenaga kepada populasi global yang semakin meningkat. Minyak sawit kini diiktiraf sebagai satu sumber minyak sayuran paling produktif bukan sahaja menembusi pasaran dunia, malah memenuhi sebahagian daripada keperluan bekalan makanan global. Berdasarkan perkembangan semasa, Malaysia dan Indonesia adalah pengeluar terbesar pasaran minyak kelapa sawit dunia iaitu kira-kira 85 peratus minyak sawit dunia. Kedua-dua negara telah menyumbang sektor pemakanan dunia terutamanya bagi pasaran India, Eropah, China, dan Amerika. Sektor industri minyak sawit sekarang mendapat permintaan tinggi daripada negara-negara miskin kerana harganya yang mampu dibeli oleh penduduk miskin.
Walau bagaimanapun, perdagangan minyak sawit telah terganggu dengan perubahan naik turun tarif. Kesan daripada perubahan naik turun tarif, boleh memberi kesan negatif ke atas barang perdagangan dengan berlakunya pengurangan kuantiti yang diniagakan atau kenaikan harga barang dagangan. Kerajaan India menaikkan duti import ke atas minyak sawit mentah (MSM) Malaysia kepada 15% daripada 7.5% sebelum ini, untuk mengawal penghantaran lebih murah dan menyokong kilang penapisan tempatannya. Keputusan kerajaan India itu disebabkan kejatuhan harga minyak bijian di bawah paras harga sokongan minimum. (Pakar Produk Derivatif Kanan Phillip Futures Sdn Bhd, David Ng). Mengulas isu ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pertemuan beliau dengan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi berharap India mengkaji semula kadar duti import yang dikenakan ke atas minyak sawit mentah (MSM) Malaysia. India mengimport kira-kira 14.5 juta tan minyak sayur-sayuran dari Malaysia dan Indonesia setiap tahun untuk memenuhi permintaan domestik. Selain itu, semasa lawatan pemimpin Eropah ke Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Perancis, Francois Hollande, antara perkara yang diberbincangkan adalah Cukai import minyak kelapa sawit.
Walaupun sektor minyak kelapa sawit telah mendapat pelbagai halangan daripada pihak-pihak tertentu seperti pihak yang tidak ingin melihat sektor minyak sawit menjadi minyak makanan dunia demi menjaga komoditi barangan mereka. Pihak pengurusan MPOB tidak berganjak dalam mempromosikan minyak sawit di negara lain terutama negara-negara miskin. Memandangkan berlakunya turun naik dalam tarif yang dikenakan oleh negara pengimport utama minyak sawit, maka kajian ini di laksanakan bagi melihat kesan perubahan tarif yang dikenakan terhadap eksport minyak sawit Malaysia. Selain itu, harga minyak sawit juga dikaji bagi melihat kesan tarif yang dikenakan mempengaruhi harga sawit seterusnya mempengaruhi eksport minyak sawit.

Project Leader

Aisyah Abdul Rahman (Faculty of Economics and Management, )