MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Model Faktor Mempengaruhi Kualiti dan Cabaran Pendapatan Hasil Sawit Pekebun Kecil Sawit (PKS)

Grant Category, Year:  Cluster Research Grant, 2020 

Abstract

Permasalahan kajian bagi usulan ini adalah berkait dengan inisiatif memperkasa pendapatan kelompok B40 melalui sumber pendapatan yang berkualiti. Kebanyakan pekebun kecil sawit [PKS] terdiri daripada golongan luar bandar dalam kategori kelas sosial B40. Kelompok pekebun kecil berhadapan pelbagai kekangan ketat daripada segi modal, tenaga, pengetahuan dan kemampuan dalam menjana pendapatan daripada aktiviti sawit. Justeru, pilihan untuk beralih kepada penanaman komoditi pertanian lain atau melakukan pekerjaan lain sebagai sumber gantian kepada pendapatan sawit adalah sukar dilakukan. Sebilangan besar pekebun kecil lazim terus kekal mengusahakan pertanian sawit dan rela menerima pendapatan seadanya kerana tidak mempunyai banyak pilihan. Namun persoalannya, apakah pendapatan PKS daripada hasil sawit selama ini merupakan pendapatan yang memenuhi ciri pendapatan berdaya atau berkualiti? Pada masa yang sama, apakah faktor-faktor yang berpotensi menjadi penentu kepada potensi kualiti pendapatan hasil sawit? Sehubungan itu, satu kerangka model bagi memahami kualiti semasa pendapatan sumber sawit dan cabaran penjanaan pendapatan hasil sawit perlu dibina dan diuji secara empirikal. Kepentingan kajian fundamental ini turut dijustifikasi dengan ketiadaan kajian khusus yang menilai atau mengukur sejauh mana pendapatan PKS daripada hasil sawit dianggap berkualiti atau sebaliknya berdasarkan dimensi ukuran tertentu. Kajian bentuk exploratory ini mempunyai 3 objektif iaitu: menilai/mengukur “kualiti” pendapatan hasil sawit pekebun kecil semasa berdasarkan dimensi tertentu; menganalisis variasi dalam kualiti pendapatan hasil sawit mengikut perbezaan PKS dalam konteks skala saiz, tumpuan lokasi kebun dan corak pemilikan kebun; dan menganalisis sumbangan pengaruh setiap cabaran terhadap kualiti pendapatan sawit PKS. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif iaitu survey di mana soalselidik khusus akan dibangunkan bagi mengukur pencapaian kualiti pendapatan berdasarkan 6 dimensi dan 4 tema cabaran yang ditentukan. Pengukur tersebut akan dibina berpandukan sorotan karya lepas dan maklumat temubual dengan wakil PKS dan MPOB. Setelah itu, instrumen akan melalui proses ujian pilot dan dimurnikan sebelum soaselidik akhir diedarkan kepada sampel kajian.

Project Leader

Suraiya Ishak (Faculty of Social Sciences and Humanities, suraiya@ukm.edu.my)