MPOB-UKM ENDOWMENT CHAIR

 

Penentu Daya Saing dan Potensi Eksport Minyak Sawit Malaysia dan Indonesia

Grant Category, Year:  Small Research Grant, 2021 

Abstract

Tahap pengeluaran dan penggunaan dunia yang tinggi telah membuktikan bahawa minyak sawit merupakan salah satu komoditi utama dunia sehingga ke hari ini. Industri minyak sawit didominasi oleh dua negara utama iaitu Malaysia dan Indonesia, yang mana kedua-dua buah negara tersebut merupakan negara pengeksport minyak sawit utama di dunia. Namun begitu, industri minyak sawit berhadapan dengan pelbagai cabaran yang boleh menggugat kedudukannya di pasaran antarabangsa. Justeru, pemahaman yang mendalam tentang keseluruhan prestasi industri ini daripada aspek daya saing eksport dan potensi eksport adalah penting bagi memastikan industri ini terus memberikan pulangan yang tinggi kepada pendapatan negara, khususnya pendapatan kepada para pekebun kecil, industri dan syarikat yang berorientasikan sawit. Kajian ini menambah baik kajian terdahulu dengan menekankan konsep daya saing eksport berdasarkan prinsip faedah berbanding. Di samping itu, kajian ini juga melihat secara spesifik faktor-faktor semasa yang secara berterusan memberi cabaran kepada industri minyak sawit di samping membandingkan secara khusus faktor-faktor tersebut di antara Malaysia dan Indonesia. Maka, pemahaman faktor utama yang mempengaruhi daya saing minyak sawit antara negara Malaysia dan Indonesia ini adalah penting kepada pihak kerajaan, industri, dan pekebun untuk merangka suatu dasar dan strategi perniagaan yang lebih komprehensif bagi meningkatkan daya saing eksport minyak sawit negara pada masa hadapan. Selain itu, kajian ini juga penting untuk memahami perubahan corak daya saing eksport sawit antara negara (Malaysia dengan Indonesia). Perubahan pola daya saing ini sangat penting kepada penggubal dasar untuk melihat sama ada industri sawit negara boleh bertahan pada masa hadapan dengan cabaran daripada negara jiran yang telahpun menjadi negara pengeluar utama sawit dunia.

Project Leader

Zulkefly Abdul Karim (Faculty of Economics and Management, )