Kerjasama Serantau Perkukuh Usaha Wujudkan Kediaman Bebas Rokok di Asia Tenggara

Dr. Aziemah Zulkifli dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia telah menyertai Bengke ‘Exploring Solutions to Reduce Second-hand Smoke Exposure in Multi-Unit Housing Setting in South East Asia’ yang diadakan pada 13 dan 14 Januari 2025 di Universiti Putra Malaysia.

Program ini dianjurkan dan dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Emilia Zainal Abidin dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama rakan kolaborasi dari pelbagai universiti tersebut terdiri daripada Prof. Dr. Sean Semple and Dr. Rachel O’Donnel dari University of Stirling; Prof. Dr. Yayi Suryo Prabandari dan Dr. Bagas Suryo Bintoro dari Universitas Gadjah Mada; Dr. Yvette van der Eijk dari National University of Singapore; Dr. Najihah Zainol Abidin dari Management and Science University (MSU); dan Dr. Tengku Azmina Engku Ibrahim dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Bengkel ini memberi tumpuan kepada sesi perbincangan bagi merangka strategi intervensi dan menentukan keutamaan penyelidikan serantau yang menekankan usaha mengurangkan pendedahan kumpulan rentan, khususnya kanak-kanak, terhadap pencemar udara dalaman termasuk asap rokok sekunder. Dalam perbincangan tersebut, Dr. Aziemah diberi kesempatan untuk berkongsi pembentangan mengenai keadaan dan ketetapan ‘Multi-Unit Housing’ di Malaysia, khususnya di Lembah Klang. Maklumat ini penting bagi penyelidik utama dalam merangka kertas cadangan yang mengambil kira senario sebenar di keseluruhan negara yang terlibat dalam penyediaan kertas cadangan penyelidikan ini.

Penyertaan ini memperkukuh kolaborasi rentas negara serta berpotensi menghasilkan pendekatan berasaskan bukti dan sesuai dengan konteks budaya bagi mewujudkan persekitaran kediaman bebas asap rokok di rantau Asia Tenggara.

#SDG3; SDG11

SDG-Aligned Solutions to Key Malaysian Problem: An Invitation to Join the Work of SDSN-Asia

Pada 10 April 2025, Wacana Kelestarian Bil 1/2025 telah disampaikan oleh Distinguished Professor Emeritus Dato’ Dr. Woo Wing Thye, Vice-President for Asia, United Nations Sustainable Development Solutions Network, Asia Headquarters (UNSDSN-Asia), Sunway University. Wacana yang disampaikan secara hibrid bertajuk SDG-Aligned Solutions to Key Malaysian Problems: An Invitation to Join the Work of SDSN-Asia. Wacana Kelestarian Bil 1/2025 kali ini juga mendapat sambutan hangat dengan kehadiran mencecah 65 peserta atas talian dan juga fizikal rata-rata dari warga UKM, universiti luar dan juga agensi-agensi berkepentingan.

Topik ini memberi tumpuan kepada menggerakkan usaha untuk menangani cabaran kritikal Malaysia melalui penyelesaian yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG). Ia menekankan peranan SDSN-Asia dalam menyatukan penyelidik, penggubal dasar dan pengamal untuk mencipta strategi yang boleh diambil tindakan untuk pembangunan mampan. Panel speaker menggalakkan individu dan institusi di Malaysia untuk bekerjasama dalam isu-isu negara yang mendesak seperti daya tahan iklim, pendidikan, ekuiti kesihatan, kemampanan bandar, dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif. Dengan menyepadukan penyelidikan saintifik, pembuatan keputusan dipacu data, dan perkongsian merentas sektor, inisiatif ini bertujuan untuk menyokong peralihan Malaysia kepada masyarakat yang lebih adil, mampan dan makmur, selaras dengan keutamaan negara dan rangka kerja SDG global.

#SDG17

Diskusi KASES 1/2025
Peranan Akademik dan Saintis untuk Pelaksanaan Ekonomi Kitaran di Malaysia

Diskusi KASES merupakan satu pentas untuk menyebarkan idea, pemikiran, hasil penyelidikan dan juga pengalaman oleh para akademik, penyelidik dan juga masyarakat awam mengenai sesuatu isu atau subjek dalam konteks kelestarian dan pembangunan lestari. Pada tahun 2023, Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed telah membuka tirai Diskusi KASES 2023 dengan memberikan ceramah bertajuk Membina Bandar Berdayahuni di Malaysia: dari Konsep ke Pelaksanaan.

Pada tahun ini, Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed sekali lagi menjadi akademik pertama yang membuka tirai Diskusi Kases 2025 dengan memberikan cerama bertajuk ‘Peranan Akademik dan Saintis untuk Pelaksanaan Ekonomi Kitaran di Malaysia’. Diskusi ini diadakan di Bilik Kuliah Utama LESTARI UKM pada 15 April bermula dari jam 10 pagi sehingga 12 tengah hari. 

Antara perkara penting yang dikongsikan oleh Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed dalam diskusi pada kali ini adalah:

  1. Konsep Ekonomi Kitaran yang memfokuskan kepada inisiatif bagi memastikan ketersediaan sumber asli yang terhad bagi memenuhi keperluan industri dan pengguna yang mana jauh lebih baik dari konsep Ekonomi Linear yang menyebabkan kekurangan sumber dan menggalakkan pembaziran sumber. 
  2. Tiga prinsip asas Ekonomi Kitaran adalah:
  • Hapuskan sisa dan pencemaran: Spesifikasi untuk mana-mana reka bentuk produk bagi  memastikan sumber memasuki semula ekosistem ekonomi kitaran pada akhir penggunaannya.
  • Menjana semula alam: Model perniagaan yang berfungsi merujuk kepada pengurusan sumber lestari menggunakan prinsip ekonomi kitaran.
  • Mengitar semula produk dan sumber bahan pada nilai tertinggi: Menyimpan sumber bahan yang digunakan sama ada sebagai produk atau apabila tidak boleh digunakan lagi sebagai komponen atau bahan mentah

3. Peranan akademik dan ahli sains:

    • Mencipta Idea, Membangun, Membina, Menyebarkan, Meningkatkan pengetahuan dan teknologi bagi menyokong keperluan dinamik bagi pelaksanaan Ekonomi Kitaran
    • Pengajaran dan pembelajaran dalam subjek yang menyokong pelaksanaan  Ekonomi Kitaran

    • Melahirkan graduan dari pelbagai bidang untuk menyokong Ekonomi Kitaran terutamanya dalam bidang teknologi, kejuruteraan, ekonomi, sosial, alam sekitar, undang-undang yang penting untuk pelaksanaan Ekonomi Kitaran.
    • Penyelidikan dan Pembangunan yang dijalankan meliputi bidang yang luas yang diperlukan untuk Ekonomi Kitaran.
    • Teknologi untuk Ekonomi Kitaran, termasuk reka bentuk produk mesra alam (Design for Environment), teknologi pemulihan sisa untuk pengembalian sumber, teknologi penggantian bahan, sisa sebagai sumber dan produk.
    • Memahami isu-isu dan cadangan pelan tindakan pelaksanaan Ekonomi Kitaran dengan merujuk kepada keperluan sosial, perundangan dan ekonomi.
    • Perantara Pemasaran dan promosi untuk produk berteraskan Ekonomi Kitaran dengan kerjasama Agensi Kerajaan, industri dan syarikat swasta serta pengguna.
    • Pemudahcara dan pelaksana aktiviti perkongsian pengetahuan dan teknologi untuk promosi Ekonomi Kitaran, termasuk perkongsian tatacara, teknologi, kesedaran dan pemantapan amalan pengasingan sisa dan 3R untuk menyokong pelaksanaan Ekonomi Kitaran.

4. Initisiatif Institusi Pengajian Tinggi

    • Inisiatif Kampus Lestari, telah menonjolkan pelaksanaan dan amalan Konsep Kitaran Ekonomi. Ini menjadikan Institusi Pengajian Tinggi menjadi contoh kepada Masyarakat Malaysia.
    • Inisiatif terkini, penyertaan sebahagian besar universiti Malaysia didalam sistem penarafan yang mengutamakan amalan kelestarian untuk Pembangunan Lestari:
      • UI GreenMetric
      • Times Higher Education Sustainability
    • Sistem penarafan global ini menilai dan mempromosi inisiatif kelestarian yang telah dan sedang dilaksanakan oleh universiti.

Di akhir Diskusi, Prof. Dr. Ahmad Fariz Mohamed mengingatkan bahawa semua Akademik dan Ahli Sains memainkan peranan penting dalam membina, membangun, menyampai, memantapkan pengetahuan dan teknologi yang penting untuk Ekonomi Kitaran.

Beliau menyeru agar Akademik dan Ahli Sains, Agensi Kerajaan, Industri, Syarikat Swasta, Masyarakat dan NGO berkerjasama dalam mempromosikan serta melaksanakan Ekonomi Kitaran di Malaysia terutamanya dalam membina dan menyampaikan pengetahuan, penggunaan teknologi, galakkan aktiviti ekonomi dan inisiatif sosial kepada umum.

#SDG4; SDG8; SDG17

Wacana Kelestarian 2/2025
Menterjemahkan Sains kepada Tindakan Pemuliharaan Kepelbagaian Biologi: Kepentingan dan Strategi

Pada 12 Jun 2025, Wacana Kelestarian Bil 2/2025 telah disampaikan oleh Ts. Dr. Khairul Naim Adham, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Wacana yang disampaikan secara atas talian bertajuk Menterjemahkan Sains kepada Tindakan Pemuliharaan Kepelbagaian Biologi: Kepentingan dan Strategi. Wacana Kelestarian Bil 2/2025 kali ini juga mendapat sambutan dengan kehadiran mencecah 65 peserta rata-rata dari warga UKM, universiti luar dan juga agensi-agensi berkepentingan.

Topik yang disampaikan ini mengetengahkan krisis biodiversiti mendesak yang dihadapi dunia hari ini. Dengan kira-kira satu juta spesies berisiko kepupusan, banyak dalam tempoh beberapa dekad sahaja, penceramah menekankan bahawa kepelbagaian biologi bukan sahaja kebimbangan pemuliharaan tetapi penting kepada kelangsungan hidup dan kesejahteraan manusia. Konsep utama yang diperkenalkan ialah Science-Policy Interface (SPI). SPI merujuk kepada proses sosial di mana saintis, penggubal dasar dan pihak berkepentingan lain berinteraksi untuk bertukar-tukar pengetahuan, membangunkan bersama soalan dasar yang berkaitan, dan bersama-sama menghasilkan penyelesaian kepada cabaran alam sekitar yang kompleks, terutamanya dalam konteks biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem. Ia direka untuk memastikan sains bukan sahaja dihasilkan tetapi digunakan secara bermakna dalam penggubalan dasar. SPI meningkatkan keberkesanan dasar, membantu merapatkan jurang antara penyelidikan dan pelaksanaan, menggalakkan pembelajaran bersama, dan membina kepercayaan orang ramai terhadap keputusan yang dibuat. Untuk menunjukkan cara SPI berfungsi secara praktikal, panel telah membentangkan beberapa kajian kes yang memberi impak. Antaranya adalah pemuliharaan harimau Malaya, di mana data saintifik dan advokasi dasar digunakan untuk menangani penurunan populasi yang dramatik daripada 3,000 harimau pada tahun 1950-an kepada kurang daripada 150 hari ini. Mekanisme SPI seperti makmal mini dasar sains, kertas kabinet dan perundingan pihak berkepentingan membawa kepada pelaksanaan sembilan tindakan pemuliharaan yang luar biasa.

Pembentangan ini kemudiannya menggariskan beberapa strategi untuk meningkatkan SPI. Ini termasuk mewujudkan platform formal yang menghubungkan saintis dengan penggubal dasar, mempromosikan penyelidikan antara disiplin, dan membina kapasiti penyelidik dan penjawat awam dalam komunikasi sains dan pembangunan dasar. Satu lagi strategi utama adalah untuk menggalakkan penyelidikan yang sejajar dengan keutamaan dasar negara dan untuk mengukuhkan penglibatan dan advokasi komuniti. Pemantauan, penilaian dan pelaporan yang telus juga ditekankan sebagai kritikal untuk meningkatkan akauntabiliti dan membimbing pengurusan adaptif.

 

#SDG8; SDG17

Kursus
Integrating GIS Applications for Enhanced Social Impact Assessment in Malaysia (GIS-SIA)

Pada 24 – 25 Jun 2025, telah berlangsung satu kursus yang bertajuk Integrating GIS Applications for Enhanced Social Impact Assessment in Malaysia (GIS-SIA) bertempat di Bilik Seminar, Kompleks Alumni UKM. Tiga (3) objektif utama kursus ini adalah

  1. Memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan penggunaan GIS dalam Penilaian Impak Sosial (SIA).
  2. Melengkapkan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menggunakan GIS dalam penyediaan laporan SIA.
  3. Meningkatkan keupayaan peserta untuk mengaplikasikan GIS dalam SIA secara berkesan.

Seramai 15 peserta yang terdiri dari pelbagai profesion telah menghadiri kursus ini.   Antaranya ialah perunding projek dan perancang bandar dari firma swasta, kumpulan penyelidik dari TNB Research Sdn. Bhd., kumpulan eksekutif dari Land Custody and Development Authority, Sarawak dan kumpulan pegawai dari Jabatan Hutan Sarawak.

Barisan jurulatih yang terlibat di dalam kursus ini ialah Profesor Gs. Dr. Ruslan Rainis (Profesor Kehormat LESTARI), Tuan Haji Mohamad Tahir Ariffin (pakar GIS), TPr. Gs. Dr, Gobi Krishna A/L Sinniah  (Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Ahli Malaysian Association Social Impact Assessment (MSIA) dan Dr. Rospidah Ghazali (Felo Penyelidik LESTARI).  Sepanjang sesi latihan  berlangsung, para peserta dibantu oleh  Puan Rd. Puteri Khairani Khirotdin (Pengawai Penyelidik Kanan LESTARI) sebagai fasilitator.

Selama 2 hari kursus berlangsung, para jurulatih telah mendedahkan kepada peserta kepada beberapa modul dan aktiviti hands on bagi membantu meningkatkan keupayaan dan kemahiran peserta dalam menggunakan GIS. Pihak penganjur berharap peserta beroleh ilmu pengetahuan dan manfaat yang dapat dimanfaatkan dalam tugasan harian, khususnya dalam menjalankan penilaian impak sosial secara lebih berkesan dan berasaskan data. Semoga segala input yang diperoleh dapat diaplikasikan dengan baik di lapangan dan memberi impak positif kepada organisasi serta komuniti yang terlibat.

Pihak penganjur juga merakamkan jutaan terima kasih kepada PLANMalaysia kerana mengiktiraf kursus ini dengan memberikan 2 mata CPD kepada peserta yang menyertai kursus ini.

 

#SDG4; SDG11; SDG17

Penglibatan CMRG LESTARI di IUPAC World Chemistry 2025

Malaysia telah mencatatkan sejarah menjadi tuan rumah pada 14 hingga 19 Julai yang lalu, kepada World Chemistry Congress (WCC 2025) yang merupakan antara acara global terbesar berkaitan dengan bidang kimia. Penganjuran ini telah diketuai oleh Institut Kimia Malaysia (IKM) dengan sokongan pelbagai organisasi yang berkaitan dengan bidang ini termasuk dari sektor akademia, kerajaan dan swasta. LESTARI menerusi Kumpulan Penyelidikan Pengurusan Bahan Kimia (CMRG) telah terlibat secara bersama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), bekerjasama di dalam penganjuran simposium bertajuk SDG13: Climate Action [Sustainable & Green Chemistry] pada 16 Julai 2025.

Penglibatan LESTARI adalah menerusi Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta yang terlibat sebagai pengerusi beberapa sesi di samping di dalam sesi latihan tertutup. En. Mahathir Amir dan En. Amirul Amri juga telah terlibat sebagai koordinator bagi sesi simposium yang dijalankan. Penglibatan ini membuka peluang jaringan serta menambahkan keteserlahan kumpulan penyelidikan di dalam bidang pengurusan bahan kimia di Malaysia.

#SDG9; SDG12;SDG13

Penentuan Bahan Pencemar Udara (PM2.5 dan PM1) di Sekolah-sekolah Sekitar Selangor dan Putrajaya

Siri aktiviti kerja lapangan telah dijalankan di 10 Sekolah Kebangaan terpilih di Negeri Selangor dan Putrajaya di bawah geran penyelidikan antarabangsa bertajuk “Exposure of School Children to Particulate Matter in High Traffic and Industrial Area, Malaysia”. Geran antarabangsa ini disumbangkan oleh International Science Council Regional Office for Asia and the Pacific (ISC-ROAP) dan Integrated Research on Disaster Risk-International Centre of Excellence in Taipei (IRDR ICOE-Taipei). Objektif utama kerja lapangan ini dijalankan adalah untuk mengumpul data bahan pencemar udara (PM2.5 dan PM1) di persekitaran sekolah yang terletak di kawasan industri dan trafik tinggi.

Umumnya kawasan sekolah yang terletak di kawasan industri dan trafik tinggi adalah terdedah dengan pencemaran asap kenderaan serta emisi industri, maka adalah penting untuk mengukur dan menilai tahap pencemaran udara ini terutamanya pendedahan pelajar sekolah terhadap bahan pencemar udara. Kerja lapangan ini dijalankan adalah secara berperingkat bermula Februari sehingga Jun 2025, anjuran Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), di bawah seliaan Ts. Dr. Murnira Othman. Beberapa alat sensor AS-LUNG Portable digunakan bagi penentuan bahan pencemar udara PM2.5 dan PM1 yang telah dipasang di dalam dan luar bilik darjah bagi tujuan penentuan kepekatan bahan pencemar udara tersebut.

#SDG3; SDG11

Webinar Pemerkasaan Komuniti Geopark Siri 1/2025:
Pemuliharaan Warisan Tabii dan Budaya

Siri pertama Webinar Pemerkasaan Komuniti Geopark berjaya dianjurkan pada 23 Julai 2025, bermula jam 10.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari. Webinar ini menghimpunkan hampir 100 peserta dari pelbagai agensi dan latar belakang. Bertemakan “Pemuliharaan Warisan Tabii dan Budaya”, webinar ini membuka ruang kepada perkongsian pengalaman lapangan serta usaha berterusan dalam memelihara nilai warisan dan memperkukuh peranan komuniti dalam inisiatif pembangunan geopark negara.

Sesi webinar ini dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Tanot Unjah sebagai Moderator dan menampilkan tiga panel jemputan wakil dari kumpulan komuniti iaitu, En. Janes Kansirong (wakil Kinabalu UNESCO Global Geopark), En. Mohd Syukri Jali (wakil Lipis Geopark), dan Puan Siti Najwa Mokhtar (wakil Lembah Kinta Geopark).

Perbincangan webinar ini menekankan pentingnya tanggungjawab bersama komuniti dalam usaha pemuliharaan warisan semula jadi dan budaya di kawasan geopark. Nilai sepunya yang diterapkan di setiap lokasi geopark menjadi asas penggerak kepada pelbagai inisiatif yang bukan sahaja memelihara khazanah warisan, malah memperkasa pembangunan sosioekonomi dan keupayaan masyarakat setempat.

Sambutan yang amat menggalakkan, disertai dengan pelbagai soalan dan interaksi daripada peserta, membuktikan minat dan komitmen tinggi terhadap agenda pemuliharaan dan pembangunan mampan komuniti melalui platform geopark.

Diharapkan siri webinar ini akan diteruskan secara berkala sebagai wadah perkongsian ilmu, pengalaman, dan strategi ke arah memperkukuh pemerkasaan komuniti geopark di Malaysia.

#SDG11; SDG17

Jejak Karbon Pelajar: Melestari Kampus Hijau UKM

Bengkel Pembangunan Modul Pengiraan Jejak Karbon Pelajar UKM telah dianjurkan pada 24 Julai 2025 bagi memperkukuh kesedaran warga kampus terhadap isu perubahan iklim dan amalan gaya hidup rendah karbon. Program ini dilaksanakan pada 24 Julai 2025 di Pulse Grande Hotel, Putrajaya dan dihadiri oleh felo penyelidik, pengawai sains, pegawai penyelidik serta pelajar universiti. Objektif utama bengkel ialah membangunkan modul pembelajaran berasaskan pendekatan saintifik bagi mengira dan menilai jejak karbon pelajar, di samping memupuk kefahaman terhadap konsep penggunaan bertanggungjawab.

Ia melibatkan aktiviti-aktiviti seperti sesi taklimat, latihan pengiraan jejak karbon dan perbincangan kumpulan bagi menambah baik instrumen modul. Program ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, 12, 13 dan 17 dengan memberi impak positif terhadap pendidikan kelestarian, perubahan tingkah laku pengguna, serta memperkukuh jaringan kolaborasi antara LESTARI dan komuniti kampus ke arah pembentukan Kampus Rendah Karbon UKM.

#SDG13; SDG12; SDG4

The 8th Regional Course on UNESCO Global Geopark: Geopark Networking and Visibility

The 8th Regional Course on UNESCO Global Geopark ialah kursus tahunan anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), LESTARI, UKM pada 25-28 Julai 2025 bagi edisi ke-8. Tema yang diketengahkan pada kali ini adalah mengenai “Jaringan dan Keterlihatan Geopark”. Kursus empat hari ini menghimpunkan profesional geopark, pasukan geopark, penyelidik, agensi kerajaan, pendidik dan pemimpin komuniti dari seluruh rantau Asia Pasifik. Ia adalah pelantar unik untuk belajar, berkongsi dan membina kerjasama bermakna yang memperkukuhkan gerakan Geopark Global di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa. Kursus ini amat penting tahun ini kerana ia bertepatan dengan ulang tahun ke-10 pengiktirafan rasmi Geopark Global sebagai program formal sepenuhnya di dalam UNESCO.

Prof. Dr. Norhayati Ahmad, Ketua PPG selaku Ahli Jawatankuasa Bertindak, turut dijemput sebagai penceramah bagi dua sesi kursus dan fasilitator untuk sesi lawatan lapangan. Antara penceramah utama yang dibariskan dalam kursus ini ialah Prof. Dr. Nikolaos Zouros (Presiden Jaringan Geopark Global), Prof. Dr. Setsuya Nakada (Pengerusi Majlis Geopark Global) dan Prof. Xiaochi Jin (Timbalan Presiden Jaringan Geopark Global dan Penyelaras Jaringan Geopark Asia Pasifik).

#SDG4; SDG8; SDG17

ISEOH 2025: Beyond 2030 - Menangani Cabaran Kesihatan Alam Sekitar dan Pekerjaan

International Symposium of Environmental and Occupational Health (ISEOH 2025) anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berlangsung pada 30 Julai 2025 di Marina Putrajaya, menghimpunkan para pakar, penyelidik dan pengamal dalam bidang kesihatan alam sekitar serta pekerjaan. Simposium ini bertujuan memperkukuh jaringan kolaborasi dan perkongsian pengetahuan dalam menangani isu kesihatan global yang berpunca daripada faktor persekitaran dan tempat kerja.

Selaku Ketua Jawatankuasa Saintifik dan Plenary Speaker, Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin memainkan peranan penting dalam penyelarasan kandungan akademik, pemilihan kertas kerja serta memastikan perbincangan yang dijalankan memenuhi objektif simposium. Dalam simposium ini, Dr. Aziemah Zulkifli daripada LESTARI turut dijemput sebagai Plenary Speaker, menyampaikan pandangan bernas beliau berkaitan cabaran kesihatan pekerjaan dalam era perubahan iklim.

Simposium ini telah memberi impak besar dalam memperkukuh kefahaman tentang hubungan antara alam sekitar, pekerjaan dan kesihatan awam. ISEOH 2025 turut membuka peluang kepada LESTARI untuk terus menerajui penyelidikan rentas disiplin ke arah pembangunan lestari dan kesejahteraan masyarakat.

#SDG3

Kerjasama Awam-Swasta Perkukuh Pematuhan Keselamatan Kimia melalui Bengkel CIMS dan CATCH

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Kumpulan Penyelidikan Pengurusan Bahan Kimia (CMRG) di bawah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), telah berjaya menganjurkan Bengkel Sistem Pengurusan Maklumat Kimia (CIMS) dan Alat Pengelasan Campuran Kimia (CATCH) 2025 (Zon Tengah) pada 31 Julai 2025, dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia. Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan pelaksanaan industri terhadap Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013 (CLASS 2013). Dengan memberikan pengetahuan dan akses kepada sistem CIMS dan CATCH, bengkel ini menyokong usaha negara dalam memperkukuh keselamatan bahan kimia di tempat kerja serta pematuhan terhadap peraturan.

Seramai 100 wakil daripada organisasi industri utama – termasuk BASF, PETRONAS, Sime Kansai Paint, Henkel, Akzo Nobel Paint, dan Petron – telah menyertai bengkel ini. Bengkel ini menzahirkan komitmen UKM dalam menterjemah penyelidikan akademik kepada aplikasi praktikal yang memberi manfaat kepada masyarakat. Model Kerjasama Awam-Swasta ini membuktikan bahawa usaha kolaboratif mampu menangani cabaran negara dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan, sekali gus memperkukuh kedudukan UKM sebagai peneraju penyelidikan berasaskan dasar dan penglibatan pihak berkepentingan.

#SDG9; SDG8; SDG17

Penglibatan Bersama dalam Pengurusan Geopark: Webinar Serlahkan Peranan Komuniti

14 Ogos 2025 – Webinar Pemerkasaan Komuniti Geopark Siri 2/2025 yang bertemakan “Pengurusan Geopark” telah berjaya dianjurkan secara atas talian dengan penyertaan lebih 100 orang peserta, termasuk wakil komuniti dari pelbagai geopark di seluruh Malaysia. Webinar ini dikendalikan oleh Prof. Dr. Sarah Aziz Abdul Ghani Aziz, Felo Akademik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan turut menampilkan tiga panelis berpengalaman daripada tiga geopark dalam negara, iaitu:

  • En. Imran Ismail – Pengurus, Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad, mewakili komuniti Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp)
  • Puan Madeline George Pau – Ketua, Unit Pengurusan Geopark, Sarawak Delta Geopark (SDGp)
  • Dr. Johan Afendi Ibrahim – Pengerusi, Persatuan Geoguide Perlis Geopark

Antara pengisian utama webinar ialah perkongsian ilmu, pengalaman serta amalan terbaik dalam pengurusan geopark, dengan penekanan terhadap peranan dan kepentingan penyertaan meluas komuniti dalam pembangunan dan pengurusan geopark. Penglibatan komuniti tempatan dilihat sebagai tunjang kejayaan pelaksanaan geopark, bukan sahaja dalam usaha memelihara warisan tabii dan budaya, tetapi juga dalam menjana ekonomi setempat menerusi aktiviti pelancongan lestari dan penubuhan koperasi komuniti, serta membina rasa kesepunyaan dan tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.

Webinar ini merupakan siri kedua daripada empat Siri Webinar Pemerkasaan Komuniti Geopark yang dirancang oleh Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), LESTARI, UKM sepanjang tahun 2025 dengan kolaborasi bersama Persatuan Geologi Malaysia (GSM) dan Jawatankuasa Pelaksana Geopark di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES). Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk terus menyokong agenda pembangunan geopark yang lebih berkesan dan lestari, serta memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak akademik, pihak berkuasa tempatan, dan komuniti geopark di seluruh Malaysia.

#SDG11; SDG16; SDG8

Wacana Kelestarian Siri 3/2025
Dari Lestari ke Legasi: Perancangan Kewangan Sejahtera

Pada 20 Ogos 2025, Wacana Kelestarian Bil 3/2025 telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Azwan Abdullah, Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan. Wacana yang disampaikan secara atas talian bertajuk Dari Lestari ke Legasi: Perancangan Kewangan Sejahtera. Wacana Kelestarian Bil 3/2025 kali ini juga mendapat sambutan dengan kehadiran mencecah 131 peserta rata-rata dari warga UKM, universiti luar dan juga agensi-agensi berkepentingan.Topik yang disampaikan menekankan kaitan rapat antara pengurusan kewangan yang mampan dengan usaha mewariskan nilai serta aset yang dapat memberi faedah jangka panjang. Konsep “Lestari” merujuk kepada pengurusan berhemah dan berterusan, manakala “Legasi” merangkumi pemindahan ilmu, nilai, dan sumber yang memberi kesan positif kepada generasi akan datang. Prinsip asas yang digariskan di dalam pembentangan beliau, meliputi amalan disiplin dalam simpanan, peningkatan literasi kewangan, perancangan jangka panjang, pelaburan beretika serta patuh Syariah, dan pengurusan harta yang sistematik. Pendekatan praktikal yang disarankan termasuklah pembentukan dana kecemasan, pengurusan hutang secara bijaksana, pelaburan berlandaskan prinsip etika, dan perancangan persaraan yang teratur. Kesemua strategi ini memberi gambaran pendekatan holistik yang menggabungkan dimensi kewangan, sosial, emosi, dan kelestarian institusi keluarga serta masyarakat. Melalui usaha ini, bukan sahaja kedudukan kewangan individu dapat diperkukuhkan, bahkan ia turut menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara secara menyeluruh. Ringkasnya, perjalanan daripada kelestarian menuju legasi menuntut gabungan ilmu, disiplin, dan nilai, bagi membina masa depan yang stabil, sejahtera, dan dapat diwariskan sebagai aset berterusan untuk manfaat masyarakat.

#SDG1; SDG2; SDG3

Memperkukuh Jalinan Penyelidikan Global: Erasmus+ IIUM Lawat SEADPRI-UKM

Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI-UKM) telah menerima lawatan rasmi daripada pasukan Erasmus+ Transnational Meeting, International Islamic University Malaysia (IIUM) pada 27 Ogos 2025. Lawatan ini bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama penyelidikan antarabangsa dalam bidang pendidikan alam sekitar dan keamanan global. Delegasi Erasmus+ diketuai oleh Prof. Madya Dr. Fatmir Shehu bersama Prof. Madya Dr. Ainul Azmin Md. Zamin dan disertai ahli akademik dari Jerman, Sepanyol, Austria, Albania dan Malaysia. Bengkel Kerjasama Penyelidikan diadakan di Bilik Kuliah Utama, LESTARI, melibatkan perbincangan mengenai pendidikan bencana, perubahan iklim dan pembinaan kapasiti komuniti.

Melalui program ini, kedua-dua institusi telah bertukar pandangan tentang pendekatan antara disiplin dalam menangani cabaran global. Lawatan ini berpotensi membuka ruang kolaborasi strategik bagi memperkukuh peranan institusi akademik dalam memajukan kelestarian dan ketahanan komuniti di peringkat antarabangsa.

#SDG4; SDG13; SDG17

Kecerdasan Buatan (AI) Membentuk Masa Depan Inovasi

Dr. Minhaz Farid Ahmed dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam “International Training Workshop on Big Data and Artificial Intelligence (AI)” pada 28 Ogos 2025 yang lalu, bagi memperluas peluang rangkaian dan kerjasama dengan pakar, penyelidik dan peserta dari seluruh dunia. Program selama empat hari itu mengumpulkan 75 orang peserta dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Iran, Kemboja, Laos, India, Iraq, Jordan, Nepal dan Pakistan.

Melalui lebih 10 sesi yang diketuai oleh 9 orang penceramah terkemuka, perbincangan tertumpu kepada topik seperti kecerdasan buatan, kecerdasan kuantum, inovasi perubatan, ekosistem pendidikan dan data raya. Selain itu, program ini turut menampilkan sesi lawatan makmal ke MIMOS, di mana ia memberikan peserta peluang unik untuk mempelajari pelbagai teori dan amalan praktikal. Selain perkongsian ilmu pengetahuan, bengkel ini menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dan menggariskan bagaimana perkongsian rentas sempadan boleh memacu inovasi dan membentuk masa depan AI dan teknologi yang dipacu oleh data.

#SDG4; SDG9; SDG17

Shanghai University Terbangkan Dr. Murnira ke China

Ts. Dr. Murnira Othman, Felo Penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) telah dijemput oleh School of Environmental and Chemical Engineering, Shanghai University, China sebagai Pensyarah Pelawat melalui satu program sangkutan yang bermula pada 1 hingga 31 Ogos 2025. Turut terlibat dalam program yang sama adalah seorang pelajar Doktor Falsafah LESTARI iaitu Puan Siti Aminah Anshah. Program ini bertujuan untuk mempertingkatkan jaringan kolaborasi dan pertukaran idea dalam penyelidikan berkaitan bidang sains atmosfera dan pencemaran udara.

Sepanjang sebulan program ini berlangsung, beberapa aktiviti telah disertai oleh Dr. Murnira termasuk sesi syarahan oleh Prof. Dr. Daniel Schlenk (Profesor di University of California Riverside dan Executive Editor, Environmental Science & Technology Journal), sesi perbincangan bersama Prof. Alfonso-Saiz Lopez (Profesor di Institute of Physical Chemistry “Rocasolano”, Spain) dan sesi pertukaran idea penyelidikan bersama Prof. Dr. Li Li (Timbalan Dekan, School of Environmental and Chemical Engineering, Shanghai University). Program sangkutan yang ditaja sepenuhnya oleh Shanghai University ini sememangnya berupaya untuk memberi manfaat kepada LESTARI khususnya, dalam mempertingkatkan kolaborasi penyelidikan untuk permohonan pelbagai geran antarabangsa, penghasilan jurnal-jurnal berimpak tinggi serta membuka peluang penyeliaan lebih ramai pelajar antarabangsa di masa hadapan.

#SDG3; SDG11

LESTARI dan Makmal Satelit Geopark, UTM Terokai Peluang Kolaborasi Penyelidikan Geopark dan Teknologi Digital bersama Kyushu University

Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Makmal Satelit Geopark, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima lawatan akademik daripada Prof. Atsushi Tero dari Kyushu University, Jepun ke Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp). Lawatan ini dijalankan pada 3  & 4 September 2025  di sekitar kawasan Kubang Badak dan Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) dengan turut disokong oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM. Lawatan ini bertujuan memperkukuh jalinan kolaborasi antarabangsa dalam bidang penyelidikan geopark, pemetaan sumber geowarisan, dan pembangunan teknologi digital bagi pemuliharaan kawasan lestari. Prof. Tero turut diberi penerangan berkaitan hasil penyelidikan LESTARI mengenai ekosistem botanik di Kubang Badak yang melibatkan komuniti setempat.

Melalui interaksi dan pertukaran pandangan ini, peluang kerjasama penyelidikan antara UKM dan Kyushu University turut diteroka bagi menjalin usaha bersama dalam pembangunan kaedah saintifik untuk pemetaan dan pengurusan geopark secara mampan di peringkat global. Terkini, pasukan penyelidik sedang dalam usaha membuat kertas cadangan untuk permohonan geran di Jepun.

#SDG4; SDG11; SDG9

Bengkel kNovasi 2025 "AR/VR for Digital Sustainability" sempena Kongres dan Pertandingan Inovasi Pengajaran & Pembelajaran (P&P) UKM (kNOVASI 2025)

Bengkel kNovasi 2025 bertemakan “AR/VR for Digital Sustainability” telah berlangsung dengan jayanya pada 10-11 September 2025, sempena Kongres dan Pertandingan Inovasi Pengajaran & Pembelajaran (P&P) UKM 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Bengkel ini menghimpunkan para akademik dan penyelidik yang berminat meneroka potensi teknologi Realiti Tambahan (AR) dan Realiti Maya (VR) dalam memperkukuh amalan kelestarian digital di universiti.

Wakil LESTARI memainkan peranan aktif sebagai penyumbang idea dan penceramah dalam sesi perkongsian mengenai penggunaan AR/VR bagi memupuk kesedaran terhadap perubahan iklim, pemuliharaan alam sekitar dan pendidikan lestari. Bengkel ini turut memberi peluang kepada peserta membangunkan pendekatan baharu dalam reka bentuk pengalaman pembelajaran interaktif yang menyokong matlamat SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 13 (Tindakan Iklim).

Penyertaan ini bukan sahaja memperluas jaringan kolaborasi antara UKM dan institusi lain, malah turut membuka ruang kepada LESTARI untuk meneroka penyelidikan baharu dalam bidang teknologi imersif bagi pembangunan mampan dan inovasi pendidikan masa depan.

#SDG9; SDG4

Komuniti Geopark Terus Diperkasa: Siri Ketiga Webinar 2025 Himpun Wakil Geopark Kebangsaan

Webinar Pemerkasaan Komuniti Geopark Siri 3/2025 dengan topik Pemerkasaan Komuniti telah berjaya dianjurkan pada 17 September 2025 (Rabu) secara dalam talian melalui Zoom, dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Program ini telah menghimpunkan seramai hampir 90orang peserta yang terdiri daripada wakil komuniti, pengurus geopark, penyelidik, pelajar serta pegawai agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

Webinar ini merupakan siri ketiga bagi tahun 2025 dalam rangkaian Webinar Pemerkasaan Komuniti Geopark yang dianjurkan khusus untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penglibatan komuniti dalam pembangunan geopark. Siri webinar ini berfungsi sebagai platform penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama serta memperkasa peranan komuniti dalam usaha pemuliharaan warisan geologi, pendidikan awam dan pembangunan ekonomi setempat.

Bagi siri kali ini, webinar menampilkan wakil-wakil komuniti dari geopark kebangsaan di Malaysia, termasuk En. Wan Baharudin bin Wan Harun (Lenggong UNESCO Global Geopark), En. Mohamad Faizal Sulong (Kenyir Geopark) dan Pn. Noina Baharuddin (Gombak-Hulu Langat Geopark), yang berkongsi pengalaman, cabaran dan kejayaan mereka dalam pelaksanaan inisiatif komuniti di kawasan masing-masing. Sesi ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim selaku moderator.

Secara keseluruhan, webinar ini telah memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai strategi dan pendekatan berkesan dalam memperkasa komuniti geopark, di samping memupuk semangat kolaborasi antara komuniti, pengurus geopark dan pihak berkepentingan ke arah menyokong agenda pembangunan lestari.

#SDG8; SDG11; SDG17

Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi untuk Tadbir Urus Banjir di Malaysia

 Regional Collaboration and Policy for Flood Resilience in BIMP-EAGA: An International Seminar-Workshop adalah acara hibrid yang diadakan pada 23 September 2025 telah menarik lebih 100 orang peserta berlatar belakang tempatan dan serantau. Seminar ini menampilkan 15 orang penceramah yang mengetuai perbincangan menarik dan bernas mengenai bagaimana komuniti menangani impak dan cabaran yang ditimbulkan oleh banjir. Selain itu, ia turut menekankan kepentingan akauntabiliti dan mempamerkan laluan praktikal ke arah penyelesaian yang berkesan.

Perbincangan juga tertumpu kepada peranan besar kerajaan tempatan dalam kesiapsiagaan bencana melalui inisiatif yang didorong oleh pihak tempatan. Perhimpunan pelbagai sektor ini juga menjadi pemudahcara bagi perbincangan mengenai sumbangan sektor swasta, ahli akademik dan agensi negara dalam memupuk pendekatan menyeluruh khususnya dalam kalangan masyarakat terhadap kesiapsiagaan banjir. Sewaktu seminar berlangsung, Dr. Minhaz Farid Ahmed dari Institut Alam Sekitar dan Sekitar (LESTARI), UKM membentangkan mengenai “Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi untuk Tadbir Urus Banjir di Malaysia,” menekankan keperluan untuk tadbir urus dan operasi banjir yang cekap dan berkesan.

#SDG6; SDG13; SDG17

Pemerkasaan Kemahiran Digital di Kalangan Komuniti Langkawi Mampu Perluas Pasaran Pelancongan Tempatan

Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Koperasi Nelayan Sungai Kubang Badak dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menganjurkan tinjauan lapangan “Projek Pemerkasaan Komuniti dan Pemasaran Digital untuk Pemuliharaan Warisan Kubang Badak bagi Pembangunan Pelancongan Lestari” pada 25 September yang lalu di Langkawi.

Program ini bertujuan untuk menilai potensi pembangunan pelancongan lestari berasaskan komuniti melalui pendekatan pemasaran digital dan pemeliharaan warisan tempatan, khususnya industri ketam, laktud dan tiram serta 13 hotspot biogeotrail yang menjadi identiti kawasan tersebut. Tinjauan turut memberi tumpuan kepada pengumpulan data lapangan, perbincangan bersama komuniti muda, serta penilaian terhadap strategi digital yang dapat meningkatkan daya tarikan pelancongan setempat.

Aktiviti ini dijangka memberi impak besar dalam memperkukuh kemahiran digital komuniti, memperluas pasaran pelancongan berasaskan warisan, dan memupuk kesedaran terhadap kepentingan kelestarian budaya serta alam sekitar. Projek ini turut menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 9, SDG 11 dan SDG 15) melalui pendekatan inovatif dan inklusif.

#SDG9; SDG11

Siri Kedua Diskusi KASES Tekankan Kepentingan SIA dalam Menjamin Kesejahteraan Sosial Masyarakat

Pusat Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar, Ekonomi dan Sosial (KASES) meneruskan tradisi keilmuan melalui penganjuran Diskusi KASES 2/2025 bertajuk “Social Impact Assessment – Managing Potential Social Consequences of Development Projects, Policies and Plans in Malaysia” yang diadakan di Bilik Kuliah Utama LESTARI, UKM bermula dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Diskusi dikendalikan oleh Dr. Rospidah Ghazali selaku Moderator manakala Penceramah Jemputan untuk siri kedua ini adalah TPr. Herlina Ab. Aziz, Presiden Persatuan Penilaian Impak Sosial Malaysia (MSIA). Beliau telah memegang jawatan Presiden sejak tahun 2019 dan memainkan peranan penting dalam merangka dasar dan memperkukuh pelaksanaan SIA di Malaysia. Selain daripada itu, beliau juga merupakan Perancang Bandar bertauliah dan Pakar Perlindungan Sosial yang berpengalaman luas di Malaysia dan Indonesia.

Intipati Diskusi ini adalah bertumpu kepada kepentingan SIA dalam memastikan projek pembangunan, perancangan dan dasar yang dilaksanakan memberi manfaat kepada masyarakat tanpa menjejaskan kesejahteraan sosial. SIA mengenal pasti kesan positif dan negatif sesuatu projek terhadap kehidupan penduduk setempat, termasuk aspek sosial, ekonomi, budaya dan kesihatan. Melalui SIA juga, pihak pemaju dan kerajaan dapat memahami kebimbangan masyarakat yang mungkin terkesan – seperti isu penempatan semula, kehilangan sumber pendapatan, atau perubahan gaya hidup sekaligus dapat merancang langkah mitigasi yang sesuai.

Seramai 30 peserta daripada pelbagai agensi hadir termasuklah pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), pegawai dari Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia@Selangor), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ahli Persatuan Penilaian Impak Sosial Malaysia (MSIA) serta pegawai dari syarikat perunding perancangan dan kejuruteraan. Penganjuran Diskusi KASES ini merupakan aktiviti yang terhasil daripada kerjasama rasmi antara KASES dan MSIA yang telah dimeterai melalui Surat Hasrat (LoI) antara LESTARI, UKM dan MSIA pada 15 Mei 2025.

#SDG11; SDG17

Dialog LESTARI 2025 sempena Sambutan Ulang Tahun ke-31

Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Program Dialog LESTARI bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-31 LESTARI pada 1 Oktober 2025 yang lalu. Program yang berlangsung di Auditorium Akademia Siber Teknopolis (AST) kali ini bertemakan “Kelestarian Akademik: Antara KPI dan Kreativiti Ilmuan.” Dialog ini bertujuan membuka ruang wacana ilmiah tentang keseimbangan antara tuntutan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan kreativiti akademik dalam memastikan kelestarian ilmu serta pembangunan institusi akademik yang mampan. Program ini juga menjadi platform bagi para ilmuan dan warga akademia untuk berkongsi pandangan, pengalaman serta cadangan ke arah memperkukuh budaya ilmu yang lestari di universiti.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah LESTARI menyatakan bahawa sambutan ulang tahun ini bukan sahaja meraikan pencapaian institut selama 31 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1994, tetapi juga sebagai manifestasi komitmen LESTARI dalam terus menerajui penyelidikan dan pembangunan lestari di peringkt nasional serta antarabangsa. Program ini turut dihadiri warga LESTARI, staf akademik dan penyelidik dari pelbagai fakulti UKM serta wakil institusi luar.

Sesi dialog diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif yang menyemarakkan lagi perbincangan mengenai cabaran danpekuang dalam dunia akademik masa kini. Sambutan 31 tahun LESTARI menandakan perjalanan panjang institut ini sebagai pusat rujukan dalam bidang kelestarian, selaras dengan visinya untuk memupuk pembangunan lestari melalui penyelidikan, latihan dan advokasi ilmu. Selamat Maju Jaya LESTARI!!!

#SDG4; SDG17

Memperkasakan Pematuhan Peraturan CLASS 2013 melalui Latihan Penyediaan Rekod Pengelasan Bahan Kimia dan Penggunaan CATCH

Kumpulan Pengurusan Bahan Kimia (CMRG) telah berjaga menganjurkan sesi latihan teknikal pada 21 Oktober 2025 untuk pihak LOTTE Chemical Titan Sdn. Bhd. dengan objektif untuk meningkatkan keupayaan di dalam penyediaan rekod pengelasan mengikut keperluan CLASS 2013 serta melatih peserta di dalam menggunakan sistem CATCH yang telah dibangunkan sebagai salah satu kaedah pengelasan bahan kimia.

Kursus ini melibatkan dua sesi di mana sesi latihan teknikal fizikal telah dijalankan di fasiliti LOTTE Chemical Sdn. Bhd. di Pasir Gudang (8-9 Oktober 2025) bagi memahami asas pengelasan bahan kimia termasuk asas mengenai sistem GHS, perundangan di Malaysia, keperluan Peraturan CLASS 2013, jenis-jenis bahaya dan kaedah penyediaan rekod pengelasan yang betul temasuk dari segi pengiraan dan format pelaporan.

Peserta seterusnya mengikuti latihan atas talian pada 21 Oktober 2025 mengenai sistem CATCH, iaitu sistem yang di bina oleh kumpulan penyelidik CMRG bagi membantu membuat pengelasan bahan kimia secara atas talian dengan lebih mudah dan pantas. Kursus ini telah diberikan oleh Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta dan En. Mahathir Amir dan dihadiri oleh 25 orang kakitangan LOTTE Chemical Sdn. Bhd.

Kursus latihan teknikal dan latihan online ini merupakan kesinambungan kepada latihan siri 1 yang telah diadakan pada 2024. Kursus siri 1 telah melatih hampir 40 orang dan penganjuran siri kedua ini membuktikan kejayaan pasukan penyelidikan CMRG selaku penyedia latihan teknikal di dalam bidang pengurusan bahan kimia memenuhi keperluan pihak industri di dalam pematuhan peraturan CLASS 2013.

#SDG9; SDG3; SDG12

Siri Webinar Terakhir Pemerkasaan Komuniti Geopark 2025 Bincang Isu 'Pembangunan Geopelancongan & Inovasi Sosial'

Siri Webinar Pemerkasaan Komuniti Geopark kini menutup tirai tahun 2025 dengan penganjuran siri terakhirnya secara atas talian. Tema yang dibawa pada Siri 4/2025 adalah berkisar tentang ‘Pembangunan Geopelancongan & Inovasi Sosial’ dan telah berjaya menarik minat hampir 100 orang peserta daripada pelbagai agensi dan institusi kerajaan, pihak industri dan swasta, ahli akademik serta individu dalam kalangan komuniti dari 12 geopark di seluruh Malaysia.

Webinar dikendalikan oleh Ts. Dr. Lim Chen Kim, Felo Akademik dari Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bertindak selaku Moderator. Seperti siri sebelumnya, tiga lagi Panelis berpengalaman dari tiga geopark kebangsaan ditampilkan dalam webinar kali ini, iaitu:

  • Dr. Mohd Amin Ali AMK., BKM. – Pegawai Tadbir, Majlis Perbandaran Sungai Petani, mewakili Jerai Geopark
  • Puan Mimie Duasah PPC., AMW. – Pengasas/Presiden Persatuan Wanita Tani Labuan & Geoguide, Labuan Geopark
  • Encik Mohd Hafiz Che Mahmud – Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Wilayah & Perbandaran), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan, mewakili Stong Geopark

Terlebih dahulu, peserta disajikan dengan perkongsian ilmu dan pengalaman oleh para panelis yang memaparkan pelbagai inisiatif geopelancongan dan inovasi sosial menarik yang telah atau sedang dilaksanakan di geopark masing-masing. Ia termasuk aktiviti-aktiviti pembangunan pelancongan yang dirancang oleh jawatankuasa/badan pengurusan geopark, mahu pun usaha kelompok komuniti setempat yang menghasilkan pelbagai geoproduk dan kraftangan berasaskan sumber warisan tabii dan budaya.

Sesi seterusnya membincangkan perihal pendekatan terbaik khususnya dari aspek perancangan kewangan dalam mempromosikan keunikan geopark-geopark yang terdapat di Malaysia, termasuk produk-produk geopelancongan sedia ada bagi menyemarakkan industri pelancongan tempatan. Ketiga-tiga Panelis turut sependapat bahawa geopark seharusnya menjana manfaat sosio-ekonomi kepada masyarakat tempatan. Mereka menekankan bahawa penglibatan aktif komuniti dalam aktiviti geopelancongan dan inovasi sosial adalah amat penting bagi memastikan geopark terus berkembang. Webinar kali ini juga amat bertuah mendapat cadangan dan nasihat daripada Prof. Dr. Che Aziz Ali yang merupakan antara pakar akademik yang terlibat aktif dalam pembangunan geopark-geopark di Malaysia sejak dulu lagi.

PPG, LESTARI selaku Penganjur, dengan kolaborasi bersama Persatuan Geologi Malaysia (GSM) dan Jawatankuasa Pelaksana Geopark di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berharap agar webinar seumpama ini dapat diteruskan di masa hadapan untuk terus menyokong agenda pembangunan geopark yang lebih berkesan dan lestari, serta memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak akademik, pihak berkuasa tempatan, dan komuniti geopark di seluruh Malaysia.

#SDG11; SDG8; SDG17

Cukupkah Gaji Minimum? - Membina Ketahanan dalam Kalangan Kumpulan Mudah Terancam

Isu gaji minumum mendapat perhatian yang tinggi dari pelbagai peringkat sama ada dalam kalangan penggubal dasar (kerajaan), ahli akademik, pihak industri, pekerja dan masyarakat awam. Timbul persoalan – adakah penetapan gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu, RM1700 sebulan itu mencukupi bagi menampung kehidupan setiap bulan?. UNESCO-UKM dengan kerjasama MyPoverty Is telah menganjurkan forum pada 23 Oktober 2025 bagi membincangkan isu berkenaan. Empat panel pakar yang berpengalaman daripada pelbagai latar belakang telah dijemput untuk mengupas isu hangat ini. Mereka ialah Datuk Hj. Shamsuddin Bardan (Pengarah Eksekutif, Malaysian Federation of Employer – MEF), Encik Umari Aiman (NGO Hunger Hurts), Mr. Hanson Chong (Penyelidik Dasar Ekonomi dari Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa Malaysia – ISIS) dan Dr. Rospidah Ghazali (Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, LESTARI-UKM). Forum ini turut menjemput Profesor Madya Dr. Hazrul Izuan dari Fakulti Ekonomi, UKM yang bertindak selaku moderator.

Sewaktu sesi berlangsung, Dr. Rospidah berkongsi cabaran yang dihadapi oleh kumpulan mudah terancam khususnya kumpulan B40 dalam melestarikan kehidupan menerusi pembentangan beliau bertajuk Building Resilience Among Vulnerable Groups. Ciri-ciri B40 yang antara lain mendapat upah/pendapatan rendah, bergantung satu punca pendapatan, berisiko terhadap kos sara hidup yang tinggi dan berhadapan hutang yang tinggi, amat memerlukan dasar, pendekatan dan program yang mampu meningkatkan daya tahan kumpulan ini terutamanya ketika berhadapan dengan kejutan dan tekanan yang disumbangkan oleh faktor-faktor ekonomi, sosial dan alam sekitar. Pada masa yang sama, Dr. Rospidah turut menasihati golongan belia khususnya mahasiswa universiti agar mengambil peluang untuk cemerlang dalam akademik sepanjang tempoh pengajian masing-masing, membangun dan mengukuh kemahiran serta membina disiplin dan akhlak yang baik sebagai persiapan untuk melangkah ke alam pekerjaan kelak.

#SDG1; SDG8; SDG10

'Membina Malaysia yang Inklusif dan Mampan untuk Kemakmuran Bersama

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNp) dengan kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Food Forest FarmBilberries Blue dan Sigar Highlands telah menganjurkan Green Tech Perak pada 25 hingga 28 Oktober 2025 di Hotel Casuarina, Ipoh, Perak. Aktiviti peringkat Negeri Perak ini adalah untuk menonjolkan kemajuan teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan inisiatif ESG, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memacu pertumbuhan lestari dan kesejahteraan komuniti. Secara khusus aktiviti empat hari ini bertujuan untuk:

  • Mempamerkan inovasi dalam teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian ESG.
  • Menggalakkan kerjasama antara industri, kerajaan, akademia dan komuniti.
  • Mewujudkan peluang pelaburan dan perkongsian strategik.
  • Memperkukuh kedudukan Perak sebagai ekonomi berdaya tahan dan berorientasikan kelestarian masa depan.

Dr. Rospidah Ghazali dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dijemput untuk terlibat sama sebagai panel dan penceramah khususnya bagi sesi “Inclusive and Sustainable Development”, di mana beliau telah membentangkan kertas bertajuk “Building An Inclusive and Sustainable Malaysia for Shared Prosperity”. Melalui pembentangannya, Dr. Rospidah menekankan bahawa kekayaan dan kemakmuran ekonomi perlu diagihkan secara saksama dalam kalangan masyarakat. Golongan terpinggir seperti kumpulan miskin, golongan wanita, kanak-kanak, Orang Asli/Orang Asal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) perlu dirangkumkan di dalam agenda pembangunan negara. Golongan ini merupakan kumpulan mudah terancam yang berhadapan risiko kepada kejutan dan tekanan yang disumbangkan oleh dimensi ekonomi, sosial dan alam sekitar (termasuk perubahan iklim). Dasar, strategi dan program-program pembangunan perlu merangkumkan kumpulan ini menerusi peningkatan akses kepada keperluan asas (makan berkhasiat, kediaman, pendidikan, kesihatan dan lain-lain), upah/gaji yang bermaruah, kemudahan pasaran, kredit dan insentif kewangan. Manakala akses kepada sumber-sumber alam termasuk sumber bekalan air bersih, pemilikan tanah dan alam sekitar bersih. Menurut beliau lagi, kumpulan ini turut sewajarnya diberi peluang untuk menggunakan teknologi di dalam menjalankan pekerjaan dan juga kehidupan harian.

#SDG1; SDG8; SDG10

'Dialog Pelancongan Lenggong' Serlahkan Pembangunan Keusahawanan Komuniti Lenggong Geopark

Program Dialog Pelancongan Lenggong Sempena Lenggong Dialog 2026 (LD’26) yang diadakan pada 3 November lalu berfungsi sebagai pelantar penting untuk membincangkan hala tuju keusahawanan berasaskan geopark dan peranan masyarakat tempatan dalam memacu pembangunan ekonomi lestari di Lenggong Geopark. Sesi dialog ini menampilkan YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong sebagai Panel Utama, bersama beberapa Ahli panel jemputan yang lain iaitu, (1) Tuan Mohd Amzari Mohd Arzami, Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Geopelancongan Lenggong Geopark; (2) YBhg. Tuan Haji Nizarulikram Abdul Rahim, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak; dan (3) Prof. Dr. Norhayati Ahmad, Ketua Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), LESTARI, UKM yang turut merupakan Ahli Jawatankuasa Panel Pakar Lenggong Geopark.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diwakili oleh tiga pakar: Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad (pakar Pengurangan Risiko Bencana), Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin (pakar Kesihatan Alam Sekitar) dan Dr. Nor Diana Mohd Idris (pakar Sosioekonomi dan Alam Sekitar). Deligasi daripada Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) ini memainkan peranan penting dalam menghubungkan aspek sains, sosioekonomi dan polisi ke arah pembangunan CCDRI peringkat sub-nasional Malaysia. Penyertaan ini membuka ruang kolaborasi strategik antara UKM dan UNICEF dalam memperkukuh indikator sosioekonomi, kesihatan dan risiko bencana berasaskan kanak-kanak di Malaysia. Ia berpotensi menyumbang kepada pembangunan inklusif dan penghasilan evidence-based research bagi pelan adaptasi iklim nasional yang berfokus kepada generasi masa depan.

Perbincangan tertumpu kepada cadangan penubuhan Badan Usahawan Lenggong Geopark, yang bertujuan memperkukuh keusahawanan berasaskan komuniti. Dialog ini juga bertindak sebagai pengenalan kepada pengusaha pelancongan untuk meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan, serta merupakan program pembukaan untuk program-program susulan yang akan datang.

#SDG4; SDG8; SDG9

Melindungi Generasi Masa Depan: Sumbangan UKM dalam Pemantapan Indeks Risiko Iklim dan Bencana Kanak-kanak (CCDRI)

Satu sesi Briefing and Roundtable Discussion telah berlangsung secara bersemuka pada 6 November yang lalu, untuk memperkenalkan dan memperkukuh pemahaman tentang Children’s Climate and Disaster Risk Index (CCDRI). Program ini dianjurkan oleh UNICEF Malaysia dan UNICEF Regional Office dengan kerjasama institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan, dan merupakan satu inisiatif UNICEF untuk menilai tahap pendedahan dan kerentanan kanak-kanak terhadap risiko iklim serta bencana. CCDRI membantu negara membangunkan dasar dan tindakan berasaskan data bagi melindungi kesejahteraan generasi muda daripada kesan perubahan iklim. Agenda utama sesi ini termasuk pembentangan model CCDRI awal, semakan data sedia ada, perbincangan jurang data dan penetapan langkah penambahbaikan seterusnya.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diwakili oleh tiga pakar: Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad (pakar Pengurangan Risiko Bencana), Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin (pakar Kesihatan Alam Sekitar) dan Dr. Nor Diana Mohd Idris (pakar Sosioekonomi dan Alam Sekitar). Deligasi daripada Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) ini memainkan peranan penting dalam menghubungkan aspek sains, sosioekonomi dan polisi ke arah pembangunan CCDRI peringkat sub-nasional Malaysia. Penyertaan ini membuka ruang kolaborasi strategik antara UKM dan UNICEF dalam memperkukuh indikator sosioekonomi, kesihatan dan risiko bencana berasaskan kanak-kanak di Malaysia. Ia berpotensi menyumbang kepada pembangunan inklusif dan penghasilan evidence-based research bagi pelan adaptasi iklim nasional yang berfokus kepada generasi masa depan.

Menggapai Impian Menara Gading: Panduan dan Persediaan Pemilihan Bidang Pengajian

Peranan sebagai pensyarah bukan sahaja terhad di dalam dunia kampus dan universiti semata-mata. Ia harus melangkaui ruang lingkung menara gading, berhubung dengan masyarakat dan kumpulan khusus yang bakal menjejak kaki ke universiti dalam tempoh terdekat. Mendekati pelajar-pelajar sekolah khususnya pelajar Tingkatan Empat yang hanya berbekal kurang lebih setahun sahaja sebelum menduduki peperiksaan besar SPM bagi memberi pendedahan, pengetahuan dan panduan hala tuju pengajian di universiti adalah penting. Pelajar sekolah harian yang berada luar bandar kekurangan maklumat berkenaan hala tuju dan bidang pengajian selepas mendapat keputusan SPM. Justeru itu, Dr. Rospidah Ghazali yang juga merupakan alumni Sekolah Menengah Dato’ Klana Putra (SMDKP), Lenggeng, Negeri Sembilan telah dijemput oleh pentadbiran sekolah pada 24 November yang lalu, untuk berkongsi pengetahuan dan juga motivasi kepada kira-kira 141 orang pelajar Tingkat Empat berkenaan bidang dan kursus-kursus yang ditawarkan serta syarat-syarat kelayakan yang diperlukan untuk mengikuti sesuatu kursus tersebut.

Antara penekanan yang dikongsi oleh Dr. Rospidah ialah perlunya mendapat keputusan cemerlang dalam subjek-subjek teras bagi bidang berasaskan Sains dan Teknologi (S&T) dan juga bidang-bidang lain. Terdapat lapan laluan akademik yang boleh dipohon oleh pelajar, antaranya termasuk Matrikulasi, Asasi, Universiti (Diploma), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Politeknik, Kolej Kemahiran, ACCA dan lain-lain. Saluran bantuan pengajian yang boleh dipohon oleh pelajar turut dikongsi oleh Dr. Rospidah di dalam sesi perkongsian ini. Di akhir sesi perkongsian Dr. Rospidah menekankan kepentingan menjaga displin, akhlak, adab serta hubungan dengan Pencipta, ibu bapa, ahli keluarga, guru, rakan-rakan dan masyarakat untuk beroleh keberkatan hidup.

#SDG4

SDG @LESTARI 2025

Sekretariat SDG @LESTARI: Wan Daraputri Razali (daraputri@ukm.edu.my)