Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin (ML): Pelajar WOU Dilatih Perkukuh Kefahaman Asas
21 Januari 2025 – Wawasan Open University (WOU), Pulau Pinang telah menganjurkan bengkel interaktif bertajuk “Learn Machine Learning without the Code” yang disampaikan oleh Ts. Dr. Lim Chen Kim dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini merupakan inisiatif Sekolah Teknologi Digital (DiGiT) dalam memperkenalkan pendekatan baharu pembelajaran kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) yang mesra pengguna dan tanpa keperluan pengekodan.
Dalam sesi tersebut, Dr. Lim berkongsi konsep asas ML termasuk proses penyelesaian masalah, pemilihan model, serta teknik penilaian prestasi menggunakan data sebenar. Beliau turut membimbing peserta meneroka latihan hands-on membina model ramalan melalui platform tanpa kod, sekali gus membuka peluang kepada pelajar untuk memahami bagaimana algoritma dan data berinteraksi dalam dunia sebenar.
Perkongsian ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman pelajar terhadap AI, malah menginspirasikan mereka untuk meneroka aplikasi ML dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, kewangan dan e-dagang. Inisiatif ini turut mempererat hubungan akademik antara UKM dan WOU dalam memperkasa literasi digital dan inovasi pendidikan masa depan.

Disediakan oleh Ts. Dr. Lim Chen Kim
21 Januari 2025