Pendigitalan Gua Kelawar dan Kebuk Arang di Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp)

23–27 Februari 2025 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) serta Makmal Satelit Geopark Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menganjurkan Program Pendigitalan Gua Kelawar dan Kebuk Arang di Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp). Aktiviti ini dijalankan di Gua Kelawar, Kilim; dan Kampung Siam, Kubang Badak; di Langkawi.

Program ini bertujuan memperkukuh inisiatif pendokumentasian warisan semula jadi dan budaya melalui pendekatan pendigitalan berasaskan teknologi tiga dimensi (3D) dan fotogrametri. Usaha ini bukan sahaja membantu dalam pemeliharaan maklumat geosains dan ekosistem gua, tetapi juga menyokong pembangunan sumber pendidikan digital serta promosi pelancongan lestari di Langkawi.

Sepanjang lima hari pelaksanaan, pasukan penyelidik LESTARI bersama rakan strategik FABU dan Makmal Satelit Geopark, UTM telah menjalankan kerja-kerja pengimbasan, pemetaan serta pengumpulan data visual beresolusi tinggi untuk menghasilkan model digital interaktif. Hasil pendigitalan ini bakal menjadi asas bagi penyelidikan lanjutan dalam bidang pemuliharaan warisan, pendidikan alam sekitar dan aplikasi teknologi imersif di kawasan geopark.

Disediakan oleh Ts. Dr. Lim Chen Kim
27 Februari 2025