26 Siswazah LESTARI Kongsi Hasil Penyelidikan di KSL 2025

16 Oktober 2025 – Kolokium Siswazah Lestari (KSL) merupakan program tahunan anjuran Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini bertujuan menyediakan platform ilmiah kepada pelajar siswazah untuk berkongsi hasil penyelidikan, bertukar pandangan, dan memperkukuh jaringan akademik dalam bidang kelestarian. Bertemakan “Kelestarian Merentas Disiplin, Seimbang Membina Masa Depan”, KSL 2025 menekankan kepentingan pendekatan antara disiplin dalam mencapai keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar. Jawatankuasa KSL 2025 diketuai oleh Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin, Felo Penyelidik LESTARI.

Kolokium ini berlangsung selama dua hari bermula 15 hingga 16 Oktober 2025 di Bilik Kuliah Utama, LESTARI UKM. Seramai 22 orang pelajar Doktor Falsafah dan 4 orang pelajar Sarjana telah membuat pembentangan mengenai kemajuan penyelidikan dalam KSL 2025. Pembentangan dalam kolokium ini dibahagikan kepada lima sesi yang mengangkat tema seperti berikut:
- Tadbir Urus, Sumber dan Alam Sekitar
- Sistem Bandar & Tindakan Iklim
- Komuniti, Penghidupan dan Kesejahteraan
- Inovasi Digital dan Warisan
- Adaptasi, Teknologi dan Kesiapsiagaan

Secara keseluruhannya, kolokium ini berjalan dengan lancar dan mencapai objektifnya. Maklum balas positif diterima daripada para peserta, penyelia dan siswazah yang menyertai program ini. KSL 2025 adalah untuk meraikan usaha pelajar dan menyediakan ruang kepada pelajar membentangkan hasil penyelidikan, meningkatkan kemahiran penyampaian akademik pelajar dan menggalakkan perkongsian ilmu dan pengalaman penyelidikan.
Disediakan oleh Nur Amira Ahmad
16 Oktober 2025