Membina Malaysia yang Inklusif dan Mampan untuk Kemakmuran Bersama

28 Oktober 2025 – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNp) dengan kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Food Forest Farm, Bilberries Blue dan Sigar Highlands telah menganjurkan Green Tech Perak pada 25 hingga 28 Oktober 2025 di Hotel Casuarina, Ipoh, Perak. Aktiviti peringkat Negeri Perak ini adalah untuk menonjolkan kemajuan teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan inisiatif ESG, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memacu pertumbuhan lestari dan kesejahteraan komuniti. Secara khusus aktiviti empat hari ini bertujuan untuk:
- Mempamerkan inovasi dalam teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian ESG.
- Menggalakkan kerjasama antara industri, kerajaan, akademia dan komuniti.
- Mewujudkan peluang pelaburan dan perkongsian strategik.
- Memperkukuh kedudukan Perak sebagai ekonomi berdaya tahan dan berorientasikan kelestarian masa depan.

Dr. Rospidah Ghazali dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dijemput untuk terlibat sama sebagai panel dan penceramah khususnya bagi sesi “Inclusive and Sustainable Development”, di mana beliau telah membentangkan kertas bertajuk “Building An Inclusive and Sustainable Malaysia for Shared Prosperity”. Melalui pembentangannya, Dr. Rospidah menekankan bahawa kekayaan dan kemakmuran ekonomi perlu diagihkan secara saksama dalam kalangan masyarakat. Golongan terpinggir seperti kumpulan miskin, golongan wanita, kanak-kanak, Orang Asli/Orang Asal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) perlu dirangkumkan di dalam agenda pembangunan negara. Golongan ini merupakan kumpulan mudah terancam yang berhadapan risiko kepada kejutan dan tekanan yang disumbangkan oleh dimensi ekonomi, sosial dan alam sekitar (termasuk perubahan iklim). Dasar, strategi dan program-program pembangunan perlu merangkumkan kumpulan ini menerusi peningkatan akses kepada keperluan asas (makan berkhasiat, kediaman, pendidikan, kesihatan dan lain-lain), upah/gaji yang bermaruah, kemudahan pasaran, kredit dan insentif kewangan. Manakala akses kepada sumber-sumber alam termasuk sumber bekalan air bersih, pemilikan tanah dan alam sekitar bersih. Menurut beliau lagi, kumpulan ini turut sewajarnya diberi peluang untuk menggunakan teknologi di dalam menjalankan pekerjaan dan juga kehidupan harian.
Disediakan oleh Dr. Rospidah Ghazali
28 Oktober 2025