Kajian Survei Penyertaan Komuniti Orang Asli Semelai dalam Pemuliharaan Hidupan Liar Di Tasek Bera

28 September 2025 – Komuniti Orang Asli Semelai (KOAS) merupakan salah satu komuniti orang asli Semenanjung Malaysia yang menetap di Tasek Bera, Pahang. Semenjak penempatan awal mereka di kawasan ini, kehidupan mereka dengan alam semulajadi amat erat. Kebergantungan komuniti ini kepada sumber asli dan alam sekitar dapat dibincangkan dalam konteks sumbangan sumber makanan, punca pendapatan, perubatan, kepercayaan dan budaya (termasuk pantang larang) dan tradisi. Pengisytiharan Tasek Bera sebagai Tapak RAMSAR pada tahun 1994 oleh UNESCO yang mana tanah lembap ini mempunyai kepentingan global telah mengubah hubungan KOAS dengan sumber alam Tasek Bera. Manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia merupakan agensi yang diberi tanggungjawab mengurus, mengawal dan melaksanakan aktiviti-aktiviti pemuliharaan kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, aktiviti pembangunan guna tanah yang pesat berlaku berhampiran kawasan dilindungi ini telah mengganggu ekosistem tanah lembab Tasek Bera. Habitat kawasan telah tercemar dan mengurangkan populasi hidupan liar kawasan ini. Pengecilan kawasan berhutan telah menyebabkan hidupan liar seperti gajah, tapir dan babi memasuki penempatan dan kawasan pertanian KOAS. Ini telah menyebabkan kerugian, kerosakan dan kemusnahan harta benda. Justeru, kajian survei ini dilakukan bagi mengkaji dan menilai sejauhmana kepentingan hidupan Tasek Bera kepada KOAS; menganalisis konflik manusia-hidupan liar yang dihadapi oleh KOAS dan seterusnya mencadangkan strategi untuk memulihara dan mengurangkan konflik manusia-hidupan liar. Kajian survei menggunakan instrumen soal selidik mensasarkan KOAS yang masih menjalankan aktiviti mengumpul, berburu dan menangkap hidupan liar di Tasek Bera.

Disediakan oleh Dr. Rospidah Ghazali
28 September 2025