Kerjasama Serantau Perkukuh Usaha Wujudkan Kediaman Bebas Asap Rokok di Asia Tenggara

14 Januari 2025 – Dr. Aziemah Zulkifli dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia telah menyertai bengkel “Exploring Solutions to Reduce Second-Hand Smoke Exposure in Multi-Unit Housing Settings in South-East Asia” yang diadakan pada 13 & 14 Januari 2025 di Universiti Putra Malaysia. Program ini dianjurkan dan dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Emilia Zainal Abidin dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama rakan kolaborasi dari pelbagai universiti tempatan lain mahupun antarabangsa. Rakan kolaborasi tersebut terdiri daripada Prof. Dr. Sean Semple dan Dr. Rachel O’Donnel dari University of Stirling; Prof. Dr. Yayi Suryo Prabandari dan Dr. Bagas Suryo Bintoro dari Universitas Gadjah Mada; Dr. Yvette van der Eijk dari National University of Singapore; Dr. Najihah Zainol Abidin dari Management and Science University (MSU); dan Dr. Tengku Azmina Engku Ibrahim dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Bengkel ini memberi tumpuan kepada sesi perbincangan bagi merangka strategi intervensi dan menentukan keutamaan penyelidikan serantau yang menekankan usaha mengurangkan pendedahan kumpulan rentan, khususnya kanak-kanak, terhadap pencemar udara dalaman termasuk asap rokok sekunder. Dalam perbincangan tersebut, Dr. Aziemah diberi kesempatan untuk berkongsi pembentangan mengenai keadaan dan ketetapan “Multi-Unit Housing” di Malaysia, khususnya di Lembah Klang. Maklumat ini penting bagi penyelidik utama dalam merangka kertas cadangan yang mengambil kira senario sebenar di keseluruhan negara yang terlibat dalam penyediaan kertas cadangan penyelidikan ini. Penyertaan ini memperkukuh kolaborasi rentas negara serta berpotensi menghasilkan pendekatan berasaskan bukti dan sesuai dengan konteks budaya bagi mewujudkan persekitaran kediaman bebas asap rokok di rantau Asia Tenggara.

Disediakan oleh Dr. Aziemah Zulkifli
14 Januari 2025