Dr. Aziemah Kongsi Ilmu Kesihatan Persekitaran kepada Pelajar Universitas Airlangga

21 April 2025 – Dr. Aziemah Zulkifli, Felo Penyelidik dan Pensyarah Kanan di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia telah dijemput untuk menyertai Program Visiting Scholar (Inbound Staff Programme) secara atas talian anjuran Fakultas Kesehatan Masyarakat, Universitas Airlangga, Indonesia. Dalam sesi tersebut, Dr. Aziemah telah menyampaikan ceramah bertajuk “Applying Health Risk Assessment in Environmental Health: Strategies for a Safer Future” yang menekankan kepentingan penilaian risiko kesihatan dalam mengurus isu-isu kesihatan persekitaran secara holistik dan berasaskan bukti saintifik.

Sesi tersebut telah dihadiri oleh seramai 60 orang pelajar semester enam Program Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kesihatan Persekitaran dari Fakultas Kesehatan Masyarakat, Universitas Airlangga, Indonesia. Program ini menjadi platform penting bagi perkongsian ilmu dan pengalaman antara ahli akademik serantau dalam memperkukuh pemahaman terhadap cabaran kesihatan persekitaran serta strategi pencegahan yang mampan. Pelaksanaan secara atas talian turut memperluas akses kepada kerjasama rentas sempadan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kehidupan Sihat dan Kesejahteraan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat.

Disediakan oleh Dr. Aziemah Zulkifli
21 April 2025