Tinjauan Impak Pembangunan MRT Terhadap Perubahan Landskap Pembangunan Bandar di Lembah Klang

9 Mei 2025 – Sebagai sebahagian daripada penyelidikan berkaitan impak pembangunan Mass Rapid Transit (MRT) terhadap perubahan guna tanah serta pembangunan bandar di Lembah Klang, tiga siri kerja lapangan telah dijalankan oleh Gs. Dr. Nuriah Abd Majid melibatkan keseluruhan 29 stesen MRT. Siri pertama yang telah berlangsung pada 20 hingga 28 Januari 2025, memberi tumpuan kepada koridor utama bandar di sepanjang laluan Sungai Buloh–Kajang. Kerja lapangan ini melibatkan sepuluh stesen utama iaitu Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr. Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara, Muzium Negara, Pasar Seni dan Merdeka. Fokus tinjauan adalah untuk memahami hubungan antara jaringan MRT dengan pola pembangunan fizikal di kawasan bandar matang selain mengumpul data geospatial sebagai asas analisis tematik.

Siri kedua pula telah dilaksanakan pada 7 hingga 11 April 2025 dan kali ini memfokuskan kepada sepuluh lagi stesen di kawasan pinggir bandar yang menunjukkan potensi pembangunan pesat akibat kewujudan MRT. Stesen tersebut termasuk Kampung Selamat, Kwasa Sentral, Surian, Semantan, Cochrane, Maluri, Taman Pertama, Taman Midah, Taman Mutiara dan Bandar Tun Hussein Onn. Aktiviti pada siri ini melibatkan pemetaan tapak, audit mobiliti dan pemerhatian terhadap perubahan guna tanah serta pencirian awal demografi. Ia dijangka menyumbang kepada pengenalpastian kawasan berpotensi tinggi untuk pembangunan berorientasikan transit (TOD) pada masa hadapan.


Sementara itu, siri ketiga pada 5 hingga 9 Mei 2025 lebih tertumpu kepada sembilan stesen yang terletak dalam kawasan Transit-Oriented Development (TOD) berintensiti pembangunan tinggi, iaitu Damansara, Abdullah Hukum, Tun Razak Exchange (TRX), Bukit Bintang, Taman Connaught, Taman Suntex, Sri Raya dan Kajang. Tumpuan utama kerja lapangan adalah penilaian integrasi pengangkutan dan pembangunan bercampur serta mendokumentasi kemudahan mobiliti lestari yang menyokong penggunaan pengangkutan awam secara optimum. Secara keseluruhannya, ketiga-tiga siri kerja lapangan ini akan menghasilkan penilaian komprehensif bagi menilai impak MRT dalam mengubah landskap pembangunan bandar di Lembah Klang. Dapatan dijangka dapat menyokong analisis saintifik berasaskan GIS bagi pembangunan peta tematik, penilaian prestasi TOD serta cadangan strategi pembangunan bandar mampan yang berpaksikan rangkaian pengangkutan awam moden.

Disediakan oleh Gs. Dr. Nuriah Abd Majid
9 Mei 2025