LESTARI dan UNNES Jalin Kerjasama Penyelidikan Risiko Tanah Runtuh di Selangor dan Semarang, Indonesia

14 Oktober 2025 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) amat berbesar hati menerima kunjungan daripada Prof. Dr. Heri Tjahjono dari Fakultas Ilmu Sosial & Ilmu Politik (FISIP), Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia bagi membincangkan hasil kerjasama penyelidikan berkaitan analisis risiko tanah runtuh dan pengurusan komuniti di dua lokasi, iaitu Semarang, Indonesia dan Selangor. Beliau selaku Ketua Projek (mewakili penyelidik di Indonesia) telah berkongsi dapatan kajian khususnya berkaitan kaedah yang lebih berkesan bagi pengurusan risiko bencana berasaskan pendekatan komuniti di Semarang. Pada sesi yang sama, Gs. Dr. Nuriah Abd Majid dari LESTARI (Ketua Projek di Malaysia) pula menggalas tanggungjawab bagi berkongsi dapatan kajian dan analisis risiko tanah runtuh di sekitar Selangor. Sesi perkongsian ilmu ini turut dihadiri oleh Puan Che Siti Noor, Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Penyelarasan Operasi dan wakil-wakil lain daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA); Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta, Pengarah LESTARI dan Puan Ku Adriani Ku Ayob untuk sama-sama membincangkan pelbagai aspek pembangunan dasar dan strategi pengurusan bencana yang lebih responsif, inklusif dan lestari.

Kolaborasi penyelidikan sebegini dilihat berupaya untuk mengukuhkan jaringan akademik serantau khususnya dalam bidang alam sekitar dan keselamatan geobencana bagi terus memberi manfaat kepada komuniti rentan di kawasan yang berisiko. Sebelum berakhir, semua yang hadir berharap agar hubungan kerjasama di antara kedua-dua institusi, LESTARI dan UNNES, dapat diteruskan di masa hadapan di dalam pelbagai kerjasama penerbitan dan projek lanjutan rentas negara.
Disediakan oleh Gs. Dr. Nuriah Abd Majid & Nazren Leman
14 Oktober 2025