Gombak Hulu Langat Geopark Bergerak ke arah Pengiktirafan UNESCO

26 September 2025 – Sesi libat urus yang berlangsung selama 4 hari ini merupakan program yang dianjurkan oleh Penyelaras Geopark, Gombak Hulu Langat Geopark (GHLGp) bersama dengan lebih kurang 40 orang rakan kerjasama yang terdiri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang;, agensi-agensi persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor yang meliputi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM); serta jabatan-jabatan lain yang berkait rapat dengan aspek komuniti seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).


Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) pula diwakili oleh Prof Madya Dr. Tanot Unjah selaku Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Saintifik dan Pemuliharaan GHLGp, di mana dalam sesi ini beliau bertanggungjawab sebagai Pra-Penasihat dalam memberi pemahaman kepada peserta mengenai keperluan dokumen UNESCO Global Geopark. Ia termasuk dari segi persediaan bahan yang diperlukan serta melihat aspek yang perlu dijawab untuk penilaian semula geopark pada tahun hadapan. Sesi libat urus ini turut merangkumi perkongsian oleh pihak pengurusan Lenggong Geopark sebelum disusuli dengan sesi lawatan lapangan ke beberapa lokasi di sekitar Lenggong. Bengkel ini membantu menggariskan tindakan dan strategi berikutnya yang perlu diambil oleh Penyelaras Geopark bersama dengan rakan kerjasama unntuk penilaian semula geopark pada tahun hadapan, selain mengatur langkah ke arah pengiktirafan UNESCO.

Disediakan oleh PM Dr. Tanot Unjah
26 September 2025