Dr. Minhaz Bawa Suara Borneo di COP30, Belem, Brazil

20 November 2025 – “Saya amat berbesar hati dijemput sebagai Ahli Panel pada Sesi Perbincangan Laporan Penilaian Borneo oleh Science Panel for Borneo (SPB) di bawah kendalian United Nations Sustainable Development Solutions Network (UN SDSN) yang diadakan di Malaysia Pavilion semasa berlangsungnya COP30 (Conference of Parties) di Belém, Brazil pada 11 November 2025 yang lalu. Dalam ucapan saya, saya memberi penekanan kepada objektif dan kepentingan Laporan SPB dalam menyokong penyelesaian pembangunan mampan di Malaysia, Brunei dan Indonesia. Memandangkan krisis tiga serangkai planet yang berterusan, komunikasi yang berkesan adalah penting untuk memastikan pelaksanaan dasar yang berjaya, terutamanya dalam perkongsian data dan maklumat saintifik, bermula dari peringkat lembangan sungai sehingga secara beransur-ansur berkembang ke peringkat serantau,” ujar Dr. Minhaz Farid Ahmed dengan penuh teruja.

Dr. Minhaz, Felo Penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) telah lebih dua tahun memainkan peranan dalam menyelaras para penyelidik dan saintis SPB, sebuah platform kolaboratif yang diwakili Malaysia, Indonesia dan Brunei. Usaha ini merangkumi tujuh Kluster Utama: Geologi dan Geografi; Flora; Fauna; Kesejahteraan Sosial dan Kepelbagaian Budaya; Pertanian Mampan; Sumber Air dan Mineral; dan Pembangunan Ekonomi untuk kelestarian serantau.

“Dalam kekangan masa dan pelbagai kerumitan bagi mematuhi perancangan dan penghasilan laporan, kami akhirnya berjaya berkat kerjasama dan sokongan daripada semua pihak. Ia adalah satu pengalaman yang penuh manfaat, “ katanya lagi.

Disediakan oleh Dr. Minhaz Farid Ahmed
20 November 2025