Memperkasa Data Karbon: Penilaian Stok Karbon di Ladang Stesen Penyelidikan MPOB, Kluang, Johor

9 Januari 2026 – Ladang kelapa sawit berperanan signifikan dalam agenda mitigasi perubahan iklim melalui penilaian dan pengurusan stok karbon secara saintifik. Sehubungan itu, Projek Penilaian Stok Karbon di Ladang Sawit (Kod Projek: SD1-12/2025) telah dilaksanakan di Ladang Stesen Penyelidikan MPOB Kluang di Bukit Lawiang, Kluang, Johor. Projek ini melibatkan Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin daripada Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI), LESTARI sebagai penyelidik bersama yang akan menyumbangkan kepakaran beliau dalam pemetaan stok karbon bagi projek ini.

Fasa pertama projek melibatkan pembinaan plot kajian telah dilaksanakan pada 15 hingga 18 Disember 2025 bagi tujuan penandaan kawasan persampelan secara sistematik. Seterusnya, pada 5 hingga 9 Januari 2026, aktiviti pengambilan data lapangan telah dijalankan, merangkumi pengukuran ketinggian serta diameter pokok kelapa sawit. Data yang diperoleh akan dianalisis untuk penganggaran biojisim dan seterusnya akan digunakan dalam penentuan jumlah stok karbon di kawasan kajian menggunakan pendekatan pengiraan piawaian sedia ada.

Projek ini berpotensi menyumbang kepada pengukuhan inventori stok karbon dalam sektor perladangan sawit negara, menyokong komitmen Malaysia terhadap pelaporan perubahan iklim, serta mempertingkat amalan pengurusan ladang yang mampan berasaskan bukti saintifik. Projek ini turut memperkukuh kerjasama penyelidikan antara institusi dan agensi industri dalam usaha memperkasa kemampanan industri sawit negara.

Disediakan oleh Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin
9 Januari 2026