12 Feb 2026 – Bandar Pintar: Infrastruktur Canggih, Tetapi Tadbir Urus Sudah Sedia?

12 Februari 2026 – Bandar pintar bukan sekadar soal teknologi dan aplikasi digital, tetapi soal mandat, legitimasi dan kejelasan hala tuju pembangunan negara. Itulah intipati Sesi Focus Group Discussion (FGD) bagi Kajian Blueprint Bandar Pintar Negara 2026–2040 yang dianjurkan oleh UniPlan Consult Sdn. Bhd. pada 12 Februari 2026 di Mercure Living Putrajaya, yang diketuai oleh Prof. Amran Hamzah (UTM). Sesi ini menghimpunkan wakil pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Digital, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), PLANMalaysia, Jabatan Digital Negara, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Real Estate and Housing Developers’ Association (REHDA) serta agensi teknikal lain.

Perbincangan meneliti kejelasan mandat, keutamaan agenda, peruntukan pelaksanaan serta jurang antara hasil keluaran (output) dan impak sebenar (outcome). Dr. Nadzirah Hosen sebagai perunding sosioekonomi dan masyarakat dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) menegaskan bahawa tanpa penyelarasan strategik dan pendekatan berpusatkan rakyat (citizen-centric), aspirasi Negara Pintar 2040 (Smart Nation 2040) berisiko kekal sebagai visi di atas kertas. Blueprint baharu perlu membentuk ekosistem pintar yang inklusif dan mampan.

Disediakan oleh Dr. Nadzirah Hosen
12 Februari 2026