22 Jan 2026 – Homestay Malaysia: Perlu Diselamatkan atau Disusun Semula?

22 Januari 2026 – Homestay Malaysia tidak sekadar perlu dihidupkan semula, tetapi perlu dibangunkan dengan hala tuju yang lebih jelas dan beridentiti. Itulah nada yang muncul dalam Sesi Perbincangan Hala Tuju Pementoran Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di Putrajaya pada 22 Januari 2026. Dr. Nadzirah Hosen dari Institut Alam sekitar dan Pembangunan (LESTARI) dijemput sebagai pakar rujuk bersama Prof. Amran Hamzah dari Universiti Teknologi Malaysia dan Mr. Lee Choon Loong dari industri pelancongan bagi menilai semula masa depan program ini pasca pandemik COVID-19.

Fokus perbincangan bukan lagi kepada jumlah pendaftaran, tetapi kepada kapasiti sebenar, komitmen komuniti dan keunikan (unique selling proposition) setiap homestay. Miso Walai Village Homestay di bawah KOPEL Kinabatangan, Sabah diketengahkan sebagai inspirasi apabila pendekatan pemulihan hutan dan pelancongan regeneratif (regenerative tourism) membolehkan komuniti menjana pendapatan melalui pemulihan hijau (green recovery) walaupun tanpa pelancong. Masa depan homestay Malaysia memerlukan identiti kukuh, daya tahan dan nilai pengalaman yang benar-benar bermakna.
Disediakan oleh Dr. Nadzirah Hosen
22 Januari 2026