2 Feb 2026 – Bengkel FGD: Penilaian Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Mangsa Banjir

2 Februari 2026 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah menganjurkan “Bengkel Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) Kajian Banjir Monsun 2024: Penilaian Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Mangsa Banjir di bawah Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana” pada 2 Februari 2026, bertempat di Hotel Fairfield by Marriott, Kuala Besut, Terengganu. Antara ahli kumpulan penyelidik yang terlibat adalah termasuk Dr. Aziemah Zulkifli (Ketua Projek), Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin, En. Muhammad Amirulamri Mohd Akhairi dan Cik Ain Syafikah. Seramai 50 peserta telah menyertai bengkel yang dianjurkan, terdiri daripada wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Penghulu Mukim dan pihak sekolah terpilih di daerah Besut.

Bengkel ini dijalankan bertujuan untuk mendapatkan input cabaran-cabaran sebelum, semasa dan selepas pengoperasian sekolah sebagai PPS yang dihadapi oleh pihak sekolah dan komuniti sewaktu kejadian bencana banjir. Semasa bengkel ini, cadangan penambahbaikan turut diberi oleh kedua-dua pihak wakil sekolah dan komuniti bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan pengoperasian sekolah sebagai PPS pada masa hadapan.

Input yang diperolehi daripada bengkel ini amat penting bagi memastikan cadangan penambahbaikan yang dirangka adalah praktikal, realistik dan berasaskan pengalaman di lapangan. Kajian ini diharap dapat memperkukuh dasar serta mekanisme pengurusan bencana negara, khususnya melibatkan penggunaan sekolah sebagai PPS.

Disediakan oleh Dr. Aziemah Zulkifli, Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin & Muhammad Amirulamri Mohd Akhairi
2 Februari 2026