7 Apr 2026 – Pelbagai Modul Pembelajaran di LESTARI Berpotensi Dikomersial

BANGI, 7 April 2026 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM amat bertuah dan berbesar hati menerima kunjungan daripada Cik Fairuz Mat Yasin, Pegawai Eksekutif (Pengkomersialan) dari Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (INOVASI@UKM) yang dibawa khas sebagai Penceramah dalam Bengkel Potensi Pengkomersialan Harta Intelek LESTARI pada 7 April 2026 yang lalu. Bengkel yang telah dirancang oleh LESTARI sejak awal tahun ini berhasrat untuk melihat sejauh mana hasil-hasil penyelidikan di LESTARI berpotensi untuk dikomersialkan, khususnya melalui modul-modul pembelajaran yang pernah dibangunkan sejak dahulu lagi.

Dalam bengkel yang dijalankan selama lebih kurang 2 jam ini, Cik Fairuz berkesempatan berkongsi ilmu dan memberi penerangan berkaitan apa yang terangkum dalam pengertian harta intelek, proses-proses permohonan paten dan hakcipta, serta perkongsian contoh-contoh hasil penyelidikan yang berpotensi dikomersial. Menurut pandangan beliau, modul-modul pembelajaran yang ada di LESTARI sebenarnya lebih mudah dan berpotensi untuk dikomersialkan berbanding pensijilan paten sama ada dalam bentuk teknologi atau rekacipta, memandangkan modul-modul ini mengandungi pelbagai ilmu asas yang sentiasa mendapat permintaan daripada agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan industri serta institusi-institusi pendidikan di seluruh Malaysia.

Bengkel yang dianjurkan ini telah dihadiri oleh sejumlah 14 kakitangan, majoritinya dalam kalangan kakitangan akademik LESTARI. Mereka turut tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan pelbagai soalan kepada Cik Fairuz, khususnya berkaitan proses dan prosedur bagaimana suatu hasil penyelidikan itu dapat dikomersialkan bagi mencapai sebaran ilmu yang lebih meluas, selain dapat menjana sedikit pendapatan tambahan kepada universiti pada masa yang sama. Sebelum bengkel bersurai, Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim, Timbalan Pengarah LESTARI yang turut serta di dalam bengkel ini sempat menggalakkan keluarga LESTARI untuk terus menerokai potensi pengkomersialan harta intelek yang dihasilkan daripada penyelidikan dalam bidang masing-masing.

Disediakan oleh Nazren Leman
7 April 2026