19 Apr 2026 – Jawatankuasa Pelaksana Geopark Perkukuh Kemahiran Penulisan Dossier Geopark Kebangsaan

SEREMBAN, 19 April 2026 – Selama lebih kurang tiga hari, Badan-Badan Pengurusan Geopark di seluruh Malaysia telah berkumpul di Seremban, Negeri Sembilan bagi meningkatkan kemahiran masing-masing dalam Bengkel Tatacara Penyediaan Dossier Geopark Kebangsaan. Bengkel yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pelaksana Geopark (JPG) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) ini bertujuan bagi memberi pendedahan kepada para peserta yang rata-ratanya daripada aspiring Geopark Kebangsaan dan juga aspiring UNESCO Global Geopark (UGGp) tentang kaedah terbaik dalam penyediaan penulisan dossier sama ada dalam kategori dossier kebangsaan mahu pun dossier UGGp.

Bengkel yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Che Aziz Ali, Pengerusi JPG ini turut dibarisi dengan ahli-ahli JPG yang telah dilantik sebelum ini termasuklah Prof. Madya Dr. Tanot Unjah dan Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim dari Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM sebagai pakar rujuk kepada peserta yang hadir. Dalam sesi yang sama, Dr. Tanot turut telah menyampaikan dua pembentangan berkaitan “Kandungan Dossier: Maklumat Umum, Dokumen Pembuktian & Peta Wilayah Geopark” dan “Pembangunan Lestari, Perkongsian, Jaringan, Perdagangan & Bahan Geologi”. Tiga UGGp di Malaysia iaitu Kinabalu UGGp, Sarawak Delta UGGp dan Lenggong UGGp turut diperuntukkan slot bagi berkongsi pengalaman dan ilmu dalam aspek pemuliharaan warisan tabii dan budaya serta pelancongan lestari di geopark masing-masing.

Disediakan oleh Nazren Leman
19 April 2026