18 Apr 2026 – Chang’an University Bawa Dr. Minhaz ke Xi’an untuk Berkongsi Ilmu Pengurusan dan Keselamatan Air di Malaysia

XI’AN, 18 April 2026 – “Saya amat berbesar hati dijemput bagi berkongsi ilmu dan menyampaikan ceramah dalam 2026 International Conference on Water Innovations for a Sustainable Earth (WISE2026) di Chang’an University, Xi’an, China. Persidangan ini meneroka usaha terbaik bagi membentuk masa depan pengurusan air melalui inovasi dan kerjasama global serta menghimpunkan pakar dari China, United Kingdom, Amerika Syarikat, Tunisia, Itali, Afrika Selatan, Australia, Ghana, Mesir, Singapura dan negara-negara lain.

Pembentangan saya dalam persidangan ini mengenengahkan hasil penyelidikan saya dalam aspek komunikasi mampan untuk pengurusan air di Malaysia, dengan merujuk kepada contoh-contoh daripada penglibatan saya sebelum ini, antaranya dalam National Water Sector Transformation 2040 (WST2040), UNESCO AP-FAST (Asia Pacific Facility for Accelerating Science and Technology), Malaysia-UNESCO Cooperation Programme (MUCP) dan Science Panel for Borneo (SPB) di bawah Sustainable Development Solutions Network (SDSN) Asia Headquarters.

Sepanjang lebih kurang dua minggu di Xi’an, saya juga berpeluang untuk melibatkan diri dengan program bersama pelajar pasca-siswazah, penyelidik pasca-doktoral, staf penyelidikan dan ahli akademik di Chang’an University. Dalam kesempatan yang sama, saya sempat berkongsi aktiviti penyelidikan terkini, mengambil bahagian dalam pelbagai perbincangan ilmiah dan menyertai lawatan lapangan yang mempamerkan amalan pengurusan air di China khususnya di sepanjang Yellow River.”
Disediakan oleh Dr. Minhaz Farid Ahmed
18 April 2026