24 Apr 2026 – Latihan Modul 3R dalam Program Lestari Air Sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026

MASJID TANAH, 24 April 2026 – Saban tahun, Program Lestari Air Sempena Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) dijalankan sebagai satu lambang tekad, azam dan fokus masyarakat Malaysia kepada kepentingan sumber air dan usaha mempelopori pembangunan sumber air secara lestari. Tahun ini, program yang sama sekali lagi dijalankan dengan jayanya pada 24 April 2026, kali ini bertempat di sekitar dataran Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka. Program yang dianjurkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) ini menampilkan rakan kolaborasi dan wakil pelbagai agensi antaranya termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Perbadanan Putrajaya, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang terlibat dalam pelbagai aktiviti di bawah program ini.

Seperti kebiasaan, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) turut tidak terlepas diundang menyertai Program Lestari Air 2026. Encik Norazmi Abdul Kadir, Penolong Pegawai Sains dan Cik Nurlina Mohamad Ramzan, Pembantu Penyelidik dari LESTARI telah dilantik oleh JPS sebagai Instruktor Modul bagi menyampaikan ilmu dan latihan Modul 3R. Modul yang disampaikan oleh mereka bertujuan mendidik serta memupuk semangat para peserta, khususnya dalam kalangan pelajar mengenai amalan 3R yang dapat membantu mengurangkan beban terhadap alam sekitar dan memastikan sumber daya digunakan secara berkesan manakala pengurusan sisa dilakukan dengan lebih efektif.

Program seumpama ini sememangnya menjadi agenda pemerkasaan ilmu di LESTARI khususnya dalam memupuk kesedaran, pemahaman dan keprihatinan individu serta masyarakat terhadap isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar dan tanggungjawab untuk memelihara serta memulihara sumber semula jadi. Kesedaran alam sekitar adalah penting kerana ia membantu individu dan masyarakat memahami kesan tindakan mereka terhadap alam. Dengan kesedaran yang tinggi, masyarakat dapat mengambil langkah-langkah sesuai untuk mengurangkan pencemaran, memelihara biodiversiti dan memastikan sumber semula jadi dapat digunakan secara lestari.

Disediakan oleh Norazmi Abdul Kadir
24 April 2026