16 Apr 2026 – Saintis dan Pakar Berkampung dalam Mesyuarat Ke-44 Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) MPOB 2026

BANGI, 16 April 2026 – Selama empat hari, para saintis dan pakar dari dalam dan luar negara menyertai Mesyuarat Kali Ke-44 Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) MPOB 2026 bagi merencana formula terbaik dalam pembangunan penyelidikan dan membincangkan isu-isu berkaitan industri sawit negara. Mesyuarat PAC yang diadakan saban tahun merupakan platform atau acara saintifik penting dalam kalendar Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk ahli bersama-sama berkumpul di bawah enam Sub-Committee dan memerah idea baharu dan berinovasi, serta menyusun strategi penyelidikan dalam memenuhi permintaan industri sawit dengan mengambil kira peluang dan keperluan global.

Selaku Ahli PAC di bawah Climate Change Mitigation and Adaptation (SD) Sub-Committee, Prof. Madya Dr. Ahmad Aldrie Amir, Felo Penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM turut menyertai sesi-sesi sumbang saran yang penuh produktif dalam Mesyuarat PAC bagi menyumbang kepakaran beliau dan membincangkan cadangan-cadangan projek penyelidikan baharu berkaitan tema SD, selain memantau kemajuan projek yang sedang berjalan. Pelbagai isu semasa kelestarian dan perubahan iklim yang dibangkitkan oleh ahli akhirnya menyumbang kepada percambahan idea menarik dan dilihat berpotensi untuk diterokai dan dikembangkan melalui penyelidikan saintifik.

Pada hari ketiga dalam acara yang sama pula, satu sesi khas Mesyuarat Lembaga Pengarang Journal of Oil Palm Research (JOPR) Ke-36 yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Ahmad Parveez, Ketua Pengarang JOPR turut dijalankan dan disertai oleh Dr. Aldrie selaku Ahli Lembaga Pengarang. Perbincangan dalam mesyuarat ini terarah kepada hal ehwal pengurusan strategik jurnal bagi memastikan lebih banyak jurnal-jurnal yang berimpak tinggi dan berkualiti diterbitkan. Seperti tahun-tahun sebelumnya, kerancakan sesi-sesi sepanjang Mesyuarat PAC berlangsung turut menjadi landasan pengukuhan jaringan dan kolaborasi dalam kalangan saintis dan penyelidik yang hadir.

Disediakan oleh PM Dr. Ahmad Aldrie Amir & Nazren Leman
16 April 2026