28 Apr 2026 – Memperkasa Pelancongan Lestari: Kajian Impak Aplikasi Web Biogeotrail Kubang Badak, Langkawi

LANGKAWI, 27 April 2026 – Pasukan penyelidik Projek Literasi Digital dan Pemasaran Pelancongan Komuniti Biogeotrail Kubang Badak Berasaskan Aplikasi Realiti Maya yang diketuai oleh Ts. Dr. Lim Chen Kim sekali lagi berkampung di Kubang Badak, Langkawi bagi menjalankan kajian lapangan selama dua hari. Ia merupakan lanjutan daripada bengkel komuniti pada 12 Mac 2026 yang memfokuskan kepada pemindahan kemahiran digital untuk mempromosikan warisan kebuk arang. Kajian lapangan kali ini bertujuan untuk mengkaji maklum balas dan keberkesanan aplikasi web terhadap jangkauan maklumat produk pelancongan kepada pihak awam, serta menilai prestasi langganan pakej pelancongan.

Program kajian lapangan ini telah dianjurkan pada 27 hingga 28 April 2026 bertempat di Jeti Pelancongan Kubang Badak Biogeotrail, Langkawi. Penganjuran ini diterajui oleh Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) bersama Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL-ALAF), UKM dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), melibatkan 56 peserta daripada komuniti koperasi, wakil LADA, pemandu pelancong dan ahli projek. Inisiatif berimpak tinggi ini diharap bukan sahaja berupaya menyokong pemuliharaan warisan, malah memperkukuh pembangunan pelancongan komuniti yang lestari, berdaya saing dan meningkatkan potensi sosio-ekonomi.

Disediakan oleh Ts. Dr. Lim Chen Kim
28 April 2026