21 Apr 2026 – Merentas Negeri Demi Sains: Perbandingan Kebuk Arang Langkawi dan Gelang Patah

GELANG PATAH, 21 April 2026 – Ts. Dr. Lim Chen Kim, Felo Penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah berkesempatan menyertai lawatan penyelidikan strategik ke Kampung Simpang Arang, Gelang Patah, Johor pada 21 April 2026. Program anjuran Makmal Satelit Penyelidikan Geopark, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini bertujuan untuk mendokumentasikan warisan kebuk arang menggunakan teknologi LiDAR Scanner dan penderia VR X5 bagi kutipan data 3D yang jitu.

Sebagai pakar rujuk, Dr. Lim terlibat aktif dalam pengumpulan data lapangan serta perbincangan kolaboratif antara LESTARI dan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM. Aktiviti lapangan yang dilaksanakan ini merupakan inisiatif awal yang akan dimuatkan ke dalam Memorandum Persefahaman (MOU) antara UKM dan UTM tidak lama lagi bagi memperkukuh kerjasama penyelidikan kelestarian.

Hasil imbasan yang dilakukan telah menghasilkan model point cloud beresolusi tinggi yang memaparkan geometri struktur secara terperinci untuk analisis pemetaan dan pembangunan model 3D. Impak utama projek ini adalah pemerkasaan data geospatial untuk pemuliharaan warisan dan promosi pelancongan geopark, sekali gus menyokong SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) serta meningkatkan keterserlahan kepakaran UKM di peringkat kebangsaan.
Disediakan oleh Ts. Dr. Lim Chen Kim
21 April 2026